[VIDEO] Lelaki Nigeria tidak mengaku gigit telinga koperal polis

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan menggigit bahagian telinga kiri koperal polis hingga terputus minggu lalu.

Tertuduh Okenyehike Kelvin Obianke, 38, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret S.Mageswary.

“Saya tidak sengaja, saya mengaku tidak bersalah,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penuntut sebuah kolej itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap Koperal Danierul Azraq Ahmad Khair, 36, di bahagian telinga kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah premis di Metro Prima, Kepong di sini pukul 10.10 pagi pada 25 April lalu yang didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Majistret Mageswary kemudian tidak menetapkan 10 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Okenyehike turut mengaku tidak atas pertuduhan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lim tahun atau kedua-duanya dan tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis Benzo (Nimetazepam) ke dalam badan sendiri di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada pukul 3 pagi pada 26 April lalu.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan itu, yang mana sekiranya dia disabitkan kesalahan, tertuduh itu boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim kemudian menetapkan 23 Julai ini bagi sebutan semula kes.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwaraya Nur Farhana Mohamad Poad dan Nurainizatul Farhana Zainal manakala tertuduh yang tidak diikat jamin itu tidak diwakili peguam.

Minggu lalu Kosmo! melaporkan seorang anggota polis MPV putus telinga kiri selepas digigit lelaki warga Nigeria yang bertindak agresif ketika ditahan di Jalan Kepong, Metro Prima di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.03 pagi ketika koperal dari IPD Sentul itu cuba membantu menahan suspek yang mengganggu sebuah klinik.

Bagaimanapun sewaktu anggota polis cuba memasukkan suspek ke dalam MPV melalui pintu belakang, warga asing itu yang dalam keadaan bergari secara tiba-tiba menggigit telinga kiri mangsa hingga terputus.

Berikutan itu, anggota polis terbabit dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan, manakala suspek berjaya ditahan di tempat kejadian. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |