Bunuh ibu, bapa: Afendi waras, 20 Mei jatuh hukum

3 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian tragis di Kampung Sungai Penchala dua tahun lalu, disahkan tidak menghidap penyakit mental.

Berdasarkan laporan perubatan psikiatri, Afendi Muhammad Agus@Muhamed Ali, 44, berada dalam keadaan mental yang waras ketika kejadian seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah laporan perubatan itu dikeluarkan 7 Februari lalu oleh Pakar Psikiatri (Forensik), Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

“Semasa kejadian yang didakwa dilakukannya, Afendi berada dalam keadaan mental yang waras dan sedar akan sifat dan akibat pengakuan perbuatannya serta mampu mengetahui Tindakan itu salah di sisi undang-undang.
Keadaan mentalnya stabil pada tarikh laporan ditulis. Dia layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu membela diri,” demikian menurut laporan itu.

Sementara itu, peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli yang mewakili Afendi mengesahkan laporan mental tersebut dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pengakuan bersalah anak guamnya diteruskan.

Izalina kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa fakta kes sudah lengkap namun pihak pendakwaan belum bersedia untuk mengemukakan barang kes ke mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi K.Muniandy kemudian menetapkan 20 Mei ini untuk fakta kes dan jatuh hukuman terhadap Afendi.

Terdahulu pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan supaya Afendi menjalani pemeriksaan mental.

Hakim Muniandy menetapkan perkara itu terhadap Afendi bagi memastikan pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh pada 6 September tahun lalu itu adalah dalam keadaan waras serta sukarela.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa membunuh bapanya Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72.

Kesalahan itu didakwa di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 di sini masing-masing pukul 7.10 malam dan 7.20 malam pada 9 Disember 2023.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 9 Disember 2023 Kosmo! melaporkan jeritan minta tolong seorang wanita yang didengari jirannya merungkaikan penemuan pasangan warga emas mati dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini.

Menurut jiran, jeritan itu dipercayai daripada wanita yang dibunuh anak lelakinya berusia 40-an kira-kira pukul 7 malam.

Pasangan yang dibunuh itu merupakan keluarga yang dikenali ramai penduduk di sini sekali gus menimbulkan suasana suram dalam kalangan penduduk.

Sejurus selepas kejadian, suspek yang melarikan diri kemudian berjaya diberkas polis dan ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuh raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di sini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |