UCL: Inter tidak panik prestasi semasa

4 hours ago 3

MILAN – Inter Milan boleh dikatakan berada dalam keadaan goyah ketika ini menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Barcelona di Stadium Lluis Companys awal pagi esok.

Skuad Nerazzurri wajar untuk berasa bimbang memandangkan mereka gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir selain baru sahaja tewas 0-1 kepada AS Roma pada aksi Serie A, Ahad lalu.

Bagaimanapun, jurulatih Inter, Simone Inzaghi enggan mengambil peduli dengan tiga kekalahan berturut-turut dialami sebelum ini kerana percaya apa sahaja boleh berlaku dalam sukan bola sepak.

Justeru, beliau menggesa anak-anak buahnya supaya membuang rasa takut terhadap Barcelona selain tetap menghormati kemampuan dimiliki skuad kendalian Hansi Flick yang baru sahaja memenangi Piala Raja Sepanyol.

“Kami baru sahaja mengharungi tiga kekalahan berturut-turut dan ia bukan sesuatu yang biasa buat Inter. Kekalahan itu sangat menyakitkan, namun kami menerimanya sebagai sebahagian daripada bola sepak.

“Saya tidak mahu lagi bercakap mengenai kekalahan itu kerana kami akan terbang ke Barcelona nanti untuk perlawanan yang sangat penting. Kualiti Barcelona tidak boleh dipertikaikan lagi tetapi kami akan turun tanpa rasa takut,” katanya.

Aksi hambar dalam empat perlawanan terakhir itu bukan sahaja membuatkan Inter tersepit, malah kedudukan mereka selaku pendahulu Serie A sudah dipintas Napoli yang dibimbing Antonio Conte.

Tambah Inzaghi, pemain-pemainnya perlu muhasabah diri selain kembali mendapatkan keyakinan sekiranya mereka mahu mencatat keputusan positif dan membawa pulang bekalan selesa untuk aksi timbal balik minggu depan.

“Buat masa sekarang, pasukan seperti hilang arah dan itu yang perlu dikembalikan. Kami perlu memulihkan keadaan mental dan fizikal kerana itulah yang akan membantu pasukan nanti,” ujarnya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |