KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran kepada penerima lesen memandu di bawah Program MyLesen B2 supaya tidak menyalahgunakannya dengan melibatkan diri dalam aktiviti haram seperti lumba haram.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya sedang meneliti mekanisme untuk mencadangkan pembatalan lesen bagi penunggang yang terlibat dalam aktiviti berbahaya itu terutama peserta program subsidi kerajaan.
“Jangan terlibat dalam aktiviti yang tidak sepatutnya seperti rempit atau lombong tangan. Mana-mana yang terlibat selepas ini, pihak kami sedang dalam proses mencadangkan pembatalan lesen tersebut.
“Jika ditangkap khususnya anak-anak yang terlibat dalam aktiviti rempit atau melanggar peraturan jalan raya, lesen yang diperoleh melalui Program MyLesen B2 subsidi kerajaan mungkin akan ditarik balik,” katanya.
Beliau yang berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 berkata, MyLesen B2 merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan B40 memperoleh lesen motosikal, khususnya untuk ke sekolah atau bekerja dalam sektor ekonomi gig.
“Pihak JPJ serius program ini. Lesen diberikan supaya anak-anak dapat teruskan kehidupan dengan selamat, sama ada ke sekolah atau menjalankan pekerjaan gig ekonomi.
“Namun, jika melanggar undang-undang jalan raya, JPJ tidak akan teragak-agak untuk menarik semula lesen tersebut,” katanya.
Beliau turut menyeru ibu bapa supaya memainkan peranan aktif dalam mendidik dan memantau anak-anak agar tidak terjebak dalam budaya negatif tersebut.
“Ingatlah, lesen memandu bukan sekadar kad fizikal atau paparan digital dalam telefon pintar, tetapi ia adalah amanah dan tanggungjawab. JPJ tidak akan berkompromi jika ia disalah guna,” tegasnya.
Seramai 915 peserta daripada golongan B40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah berjaya menamatkan latihan serta lulus ujian lesen memandu menerusi Program MyLesen B2. – KOSMO! ONLINE