SEREMBAN – Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Persatuan Tingkatan Enam Tahun 2025 yang berlangsung serentak di seluruh negara hari ini mencatatkan detik bersejarah apabila Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di sini menjadi satu-satunya institusi prauniversiti yang melaksanakan proses pengundian dengan kerjasama rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kerjasama unik itu menjadikan pengalaman pelajar lebih realistik kerana keseluruhan perjalanan pilihan raya ini berdasarkan kepada konsep serta kaedah pilihan raya umum sebenar, termasuk cetakan kertas undi rasmi, penyediaan empat saluran, penggunaan senarai pemilih, semakan daftar, serta penggunaan dakwat celup jari.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan (JPNNS), Khalidah Omar, berkata pendedahan ini penting sebagai latihan kepimpinan sebenar buat pelajar tingkatan enam yang bukan sahaja mempelajari teori dalam kelas, tetapi turut menyaksikan dan merasai secara langsung proses demokrasi.
“Saya sangat teruja melihat pelajar kita begitu bersemangat. Kadar keluar mengundi di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz pada proses pemilihan hari ini sahaja mencecah 96 peratus. Ini simbolik bahawa anak muda sebenarnya serius memahami erti demokrasi dan kepimpinan,” katanya ketika ditemui pada
Hari Pengundian Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Persatuan Tingkatan Enam Tahun 2025 di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di sini, hari ini.
Menurut beliau, seramai 2,606 pelajar tingkatan enam di Negeri Sembilan layak mengundi kali ini, melibatkan 1,444 pelajar semester satu dan 1,162 pelajar semester tiga dari 20 buah sekolah serta sebuah kolej tingkatan enam.
Sementara itu, Pengetua Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz, Datin Seri Nurul Hidayah Seah Abdullah, turut menyifatkan kerjasama SPR sebagai satu sejarah baharu dalam pendidikan prauniversiti di negara ini.
“Ini kali pertama dalam sejarah prauniversiti, pelajar melalui proses pilihan raya sebenar. Mereka menawar diri, berkempen, berucap dalam perhimpunan, membentangkan manifesto dan bertanding secara telus,” katanya.- KOSMO! ONLINE