SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) menjelaskan Dewan Mu’adzam Shah mengalami kerosakan pada struktur bumbung akibat hujan lebat, sekali gus tidak dapat digunakan bagi Majlis Graduasi Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada Khamis lalu.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihak pengurusan UUM membuat keputusan bahawa dewan tersebut tidak boleh digunakan bagi sebarang penganjuran program berskala besar buat sementara waktu pada 1 Disember lalu.
“Keputusan perubahan lokasi bukan dibuat dua hari sebelum program itu dilaksanakan pada Khamis lalu seperti didakwa oleh pihak-pihak tertentu,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM berkata demikian dalam penjelasan rasmi berhubung pertanyaan yang dibangkitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor merangkap Pengerusi SADA berkaitan penggunaan Dewan Mu’adzam Shah bagi majlis graduasi berkenaan.
Terdahulu, Muhammad Sanusi dalam ucapan perasmian majlis graduasi itu di sebuah dewan di Titi Gajah, Alor Setar melahirkan rasa kesal terhadap pihak pengurusan UUM kerana didakwa membatalkan penggunaan dewan bagi Majlis Graduasi SADA pada saat akhir yang dikatakan berpunca daripada perbezaan fahaman politik.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada dakwaan tersebut menjejaskan imej UUM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Ahmad Martadha berkata, kritikan dan tohmahan yang dibuat tidak menggambarkan perkara sebenar yang berlaku.
“Mungkin maklumat yang diterima tidak tepat sehingga mengakibatkan kritikan tersebut meletakkan kesalahan kepada pihak UUM, sedangkan kami telah melaksanakan pelbagai tindakan termasuk mencadangkan lokasi alternatif iaitu Hotel EDC untuk pihak SADA mengadakan majlis graduasi,” ujarnya.
Menurutnya, keputusan itu juga selaras dengan notis edaran menerusi emel pada 7 Mac lalu kepada semua staf UUM bahawa Dewan Mu’adzam Shah, Teater Eksperimen dan Dewan Tan Sri Othman terlibat dalam projek menaik taraf dan membaik pulih membabitkan penggantian bumbung serta pembaikan infrastruktur mulai 14 Mei hingga 14 November 2027.
“Kerja-kerja tersebut hanya ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada Majlis Konvokesyen UUM pada November lalu,” ujarnya.
Jelasnya, sebagai sebuah institusi awam yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan pengunjung, UUM bertanggungjawab memastikan setiap fasiliti berada dalam keadaan selamat sebelum digunakan.
“Dalam hal ini, keselamatan dan keselesaan keluarga besar SADA yang hadir ke majlis tersebut menjadi pertimbangan utama kami. Atas faktor itu, penggunaan Dewan Mu’adzam Shah tidak dapat dipertimbangkan bagi mengelakkan sebarang risiko,” katanya.
Tambahnya, walaupun berlaku pertukaran lokasi majlis, pihak UUM tetap memberikan sokongan penuh kepada penganjuran program tersebut dengan membantu menyediakan pinjaman jubah, sebahagian kerusi serta pelbagai kemudahan lain bagi memastikan kelancaran majlis berkenaan.
“UUM menghargai hubungan baik dengan SADA dan sentiasa bersedia bekerjasama dalam program-program melibatkan masyarakat serta rakan strategik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2

















































