KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan kutipan sebanyak RM205,290 menerusi lelongan awam melibatkan 102 kenderaan yang diadakan di Pejabat JPJ Kelantan di Panji di sini hari ini.
Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, jumlah tersebut melibatkan sebanyak 67 buah kenderaan boleh dilesen dan 35 buah kenderaan tidak boleh dilesenkan.
Menurutnya, kenderaan yang dilelong terdiri daripada 25 buah kereta, 74 buah motosikal dan tiga buah lori.
“Jenis yang dilelong antaranya Volkswagen Beetle, Mini Cooper, Proton Saga dan Mercedez Benz. Bagi motosikal pula, lelongan itu melibatkan Modenas Kriss, Yamaha 135LC dan Honda EX5 .
“Kenderaan yang mendapat bidaan tertinggi iaitu sebuah lori jenis Hino FSIK yang dibida pada harga RM51,000 manakala harga terendah yang dibida ialah motosikal Modenas Kriss yang dilelong RM250,” katanya pada sidang akhbar selepas Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 1/2025 di JPJ Kelantan di Panji di sini hari ini.
Mohd. Misuari memberitahu, proses pelupusan secara lelongan awam itu merupakan sebahagian daripada proses pengurusan aset yang telah disita atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Perkhidmatan Awam Darat 2010.
Menurutnya, selain daripada kenderaan yang boleh dilesenkan, lelongan itu juga melibatkan kenderaan yang tidak boleh dilesenkan (scrap) dan kaedah lelongan kenderaan ‘scrap’ pada kali ini ditawarkan secara pukal atau kombo.
“Bagi kategori kenderaan ‘scrap’, hanya syarikat yang mempunyai Sijil Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan sahaja yang layak untuk mengambil bahagian.
“Dengan cara ini, sudah pastinya kenderaan berstatus ‘scrap’ tidak akan berada di jalan raya dan mengelakkan daripada berlakunya kesalahan berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE