KOTA TINGGI – Kehadiran pelakon dan penyanyi terkenal, Bella Astillah, 31, pada acara 113 International Triathlon Desaru Malaysia 2025 hari ini mencuri tumpuan ramai apabila dilihat memberi sokongan padu bukan sahaja kepada anaknya, Ayden Adrean, 8, malah turut berada di sisi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bella kelihatan setia menemani kedua-dua mereka sejak awal pagi dan sempat berbual mesra bersama Syed Saddiq sebelum acara renang bagi kategori anaknya dimulakan sekali gus mencetuskan perhatian para peserta dan penonton di lokasi acara.
Tampil santai mengenakan T-shirt hitam dan seluar jean, Bella turut ditemani anak perempuannya, Ara Adreanna, 5 yang setia berada di sisi ibunya sepanjang acara berlangsung.
Bella juga dilihat begitu teruja dan tidak lekang memberi semangat kepada Ayden yang menyertai triathlon buat kali pertama dan merupakan antara peserta termuda dalam acara kali ini.
Bella ketika ditemui berkata, kehadirannya adalah sebagai ibu yang ingin memberi sokongan moral kepada anak dan mereka yang rapat dengannya.
“Saya tak pernah paksa Ayden, tapi bila dia tunjuk minat, saya sokong sepenuhnya. Sukan ini sangat bagus untuk kesihatan dan semangat juang. Sebagai seorang emak, memang saya risau juga, tapi saya bangga dia berjaya habiskan perlumbaan,” katanya.

Foto RAJA JAAFAR ALI
Dalam pada itu Ayden berkata, cabaran utama yang dihadapi ialah semasa berenang apabila pelampung keselamatannya hanyut, menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan renangan di laut atas faktor keselamatan.
Dalam pada itu, Syed Saddiq ketika ditanya mengakui hadir ke acara itu bersama Bella Astillah.
Katanya, kehadirannya bukan sekadar untuk bertanding, malah turut memberi dorongan moral kepada Ayden yang disifatkannya sebagai berani dan bersemangat tinggi meskipun masih muda. -KOSMO! ONLINE