[VIDEO] ‘Aku langgar kau ke?’

8 hours ago 5

PETALING JAYA – ‘Adakah salah saya sebab memberi laluan kepada pejalan kaki?’

Demikian luahan seorang lelaki, Ammar Anas, selepas dimarahi oleh seorang pemandu yang tidak berpuas hati kerana dia memberhentikan motosikalnya seketika di jalan raya untuk memberi laluan kepada pejalan kaki.

Menerusi klip berdurasi dua minit yang dimuat naik ke akaun Instagram miliknya, Ammar berkongsi detik dia dihon beberapa kali oleh pemandu sebuah kenderaan di belakangnya yang mahu dia meneruskan perjalanan, meskipun terdapat papan tanda yang jelas menyatakan bahawa pemandu perlu berhenti dan membelok ke kiri sekiranya terdapat pejalan kaki.

“Saya kena hon banyak kali dengan kereta belakang, adakah saya salah sebab memberi laluan kepada pejalan kaki?

“Berhenti tak sampai sepuluh saat sampai sanggup tekan minyak, rapat dengan saya selepas itu dia (pemandu kereta) brek semata-mata untuk marah saya,” kata Ammar dalam klip tersebut.

Katanya, pemandu terbabit turut meninggikan suara selepas dia menegurnya supaya membaca papan tanda yang ada di lokasi kejadian.

“Aku langgar kau ke? Kalau tiada kau jalan sahajalah!” ujar pemandu kenderaan tersebut

Ammar meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pengguna jalan raya yang tidak mengendahkan hak pejalan kaki untuk melintas dengan selamat.

“Waktu ini, saya sangat terkilan sebab ada jugak orang yang macam itu,” katanya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata orang ramai mengecam tindakan pemandu terbabit yang dianggap biadab dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

“Kepada ‘driver’ (pemandu) kereta itu, kau memang beria, tak reti berfikir logik. Semoga lampu isyarat sentiasa merah untuk kau, gaji tak naik dan ‘punch card’ selalu merah,” kata Karishaxwan.

“Sudah kenapa pemandu kereta itu sangat kurang kesabarannya, baik tak payah pandu kereta atau menggunakan jalan raya sebab tak cukup pendidikan ye Abang,” ujar Reenphin.

Sementara itu, kebanyakan netizen turut meluahkan ucapan terima kasih terhadap Ammar kerana menghormati dan sentiasa memberi laluan kepada pejalan kaki.

“Terima kasih awak saya wakil daripada seluruh rakyat Malaysia sebab masih ada orang baik macam awak,” ujar Aiman Syazwan.

“Teruskan buat video macam ini dan jangan berhenti sebarkan kebaikan kerana awak orang yang sangat bijak,” balas CaptAsh. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |