PENANTIAN bekas pelumba motocross negara, Muhamad Habibullah Mohd. Saleh untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya akhirnya terjawab selepas Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) mengesahkan sukan permotoran kini layak menerima bantuan.
Ia menyaksikan pelumba yang dikenali sebagai Gabit, 34, itu boleh menarik nafas lega kerana bantuan tersebut dapat meringankan bebannya ketika dia kini kembali melawan kanser hidung setelah disahkan sembuh pada penghujung 2023.
Akibat serangan semula kanser tersebut, dia mengalami masalah juling pada mata yang menyebabkan penglihatan berganda selain kesukaran bertutur dan kerap keletihan sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk bekerja.
Menurut Gabit, proses bantuan itu bermula selepas laporan Kosmo! mengenai nasibnya tular sekitar April lalu yang mendorong Yakeb untuk menghubunginya secara terus.
“Alhamdulillah, selepas temu bual itu, Yakeb ada hubungi saya dan kami mengadakan pertemuan. Walaupun pada mulanya berdepan cabaran dari segi dokumentasi seperti sijil pengesahan sebagai pelumba antarabangsa.
“Selepas berbincang dengan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan Yakeb, akhirnya permohonan saya diluluskan. Saya menerima elaun bulanan untuk meringankan kos rawatan.
“Kos rawatan di hospital dan perbelanjaan membeli susu formula khas turut dibantu oleh Yakeb. Bantuan ini sangat besar maknanya buat saya kerana ia mengurangkan beban kos perubatan bulanan seperti ujian darah untuk memantau organ dalaman,” katanya kepada Kosmo!.
Gabit turut berkongsi perkembangan terkini mengenai perjuangannya melawan kanser sejak 2021.
“Baru-baru ini saya selesai menjalani 18 pusingan kemoterapi dan imbasan CT menunjukkan sel kanser itu semakin mengecil. Saya akan menjalani imbasan seterusnya pada 15 Oktober untuk melihat perkembangannya,” ujarnya.
Pengerusi Yakeb, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, keputusan itu adalah satu langkah pengiktirafan terhadap sumbangan dan pengorbanan dicurahkan oleh bekas pelumba negara.
“Bukan syarat dilonggarkan, tetapi sukan itu (permotoran) kini diambil kira. Asalkan dapat pengiktirafan mewakili negara, kita akan masukkan, janji dia mewakili Malaysia dalam satu kejohanan yang diiktiraf,” jelasnya.