Mesyuarat ASEAN: KLCC sedia terima delegasi

8 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersedia menerima kehadiran rakan dialog dan delegasi daripada pelbagai negara bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang akan bermula pada Selasa hingga Khamis ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, mesyuarat persiapan telah pun bermula di peringkat kumpulan kerja, manakala mesyuarat ketua-ketua pegawai kanan pula akan bermula esok pagi.

Menurutnya, persiapan dari aspek logistik dan juga subtentif telah pun bermula beberapa bulan yang lepas dan kini berada di peringkat akhir.

“Saya boleh katakan di sini bahawa persiapan logistik telah mencapai 100 peratus. Kita bersedia untuk melaksanakan mesyuarat ini.

“Semuanya akan berjalan lancar, dengan sokongan semua pihak berdasarkan pendekatan yang telah diambil,” katanya pada taklimat kepada media berkaitan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di KLCC hari ini.

Beliau berkata, arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini supaya Kepengerusian ASEAN di Malaysia pada tahun 2025 dilaksanakan dengan jayanya merangkumi semua aspek.

“Ini termasuk daripada aspek ‘outcome’, subtentif, gerak kerja, hala tuju ASEAN dan dari aspek logistik untuk memastikan delegasi, rakan dialog ASEAN dan negara-negara terlibat dengan mesyuarat di bawah mekanisme ASEAN dapat keselesaan yang sepatutnya disediakan oleh Malaysia kepada tetamu-tetamu kita,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat kali ini penting untuk menggerakkan kerjasama di pihak ASEAN dengan rakan-rakan dialog terhadap pelaksanaan keputusan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lalu.

“Semasa sidang kemuncak tersebut, turut berlangsung Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang mana telah menghasilkan dokumen hasil atau keputusan yang perlu dilaksanakan negara-negara ASEAN dan rakan dialog melalui kerjasama rapat.

“Justeru ini peluang untuk mesyuarat pada kali ini oleh Perdana Menteri untuk menggariskan pelaksanaan tersebut di samping hala tuju ASEAN ke hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Amran berkata, selepas Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN, harapan yang tinggi dalam kalangan negara ASEAN supaya kerjasama dalam ASEAN serta rakan dialog yang lain terus dipertingkatkan.

“Ini harapan tinggi daripada bukan sahaja dalam kalangan negara ASEAN, tetapi juga rakan-rakan dialog ASEAN, rakan sektor dialog dan negara-negara lain dari segi bentuk kerjasama dengan ASEAN,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |