KUALA KRAI – Penceramah bebas yang disiasat selepas dipercayai terlibat kes menyebar video seks isteri-isterinya sudah lama ditarik tauliah daripada mengajar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, penceramah itu pernah diberikan tauliah dan kemudian telah ditarik balik.
“Itu yang saya dimaklumkan. Selebihnya, kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara adil.
“Tindakan itu dijalankan agar tiada pihak yang mungkin teraniaya apabila kita buat keputusan atau penilaian,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Wacana Dakwah Al-Falah Memacu Ummah Madani Bersama Institusi Pondok di Pondok Sungai Durian di sini hari ini.
Mohd. Na’im memberitahu, golongan agamawan sepatutnya menggunakan ilmu untuk mendidik dan membawa masyarakat ke jalan benar daripada kebatilan kepada hak.
Menurutnya, golongan itu tidak sepatutnnya melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama Islam.
“Umat Islam memandang tinggi terhadap golongan agamawan. Jadi, jangan kerana dua atau tiga individu, imej golongan agamawan ini tercemar.
“Masyarakat perlu menyemak latar belakang penceramah dan memastikan mereka mempunyai tauliah sebelum memanggil mereka untuk menyampaikan kuliah,” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, polis menyiasat seorang penceramah bebas berhubung kes penyebaran video seks isteri-isterinya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita yang merupakan isteri kedua suspek lelaki tersebut, pukul 12 tengah hari, 16 Jun lalu.
Katanya, pengadu mendakwa penceramah itu menyebarkan video seks dirinya dan madu-madu lain serta beberapa wanita lain.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – KOSMO! ONLINE