MESKIPUN hanya empat disiplin ditawarkan untuk acara terjun pada Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok hujung tahun ini, Malaysia tetap optimis mempertahankan penguasaan tradisi dalam sukan berkenaan.
Presiden Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, senarai atlet yang berpotensi menyumbang pingat emas telah dikenal pasti dan dimaklumkan kepada pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Kita sudah kenal pasti atlet dijangka boleh mendapat emas, demikian juga dalam sukan terjun. Tapi jumlah pingat saya tak boleh sebut, biar Menteri yang sebut,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan MAS di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.
Shahidan menjelaskan, pengurangan jumlah acara bukan alasan untuk Malaysia goyah, sebaliknya membuka ruang lebih besar bagi mengekalkan dominasi ke atas lawan serantau.
“Terjun ini kita tahu Malaysia sering menguasainya. Dahulu masa saya jadi presiden, tuan rumah pertandingkan 11 acara dan kesemua menjadi milik Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, Malaysia turut mencatat pencapaian membanggakan menerusi skuad pelapis yang mengungguli Kejohanan Renang Remaja Asia 2025 di Singapura baru-baru ini.
“Renang dapat lima emas, renang artistik enam emas dan kita juga juara keseluruhan. Ini satu kejayaan besar untuk pelapis-pelapis. Kita akan mohon kepada MSN supaya tambah jumlah pelapis, sebab latihan ini ambil masa panjang,” katanya.
Bagi memperkukuh struktur pembangunan akar umbi, Shahidan turut memberi bayangan untuk mencadangkan peruntukan tambahan kepada negeri-negeri agar lebih banyak kejohanan dapat dianjurkan bersama kelab tempatan.
Malaysia sebelum ini menyapu bersih semua 11 acara terjun ketika Sukan SEA edisi lalu yang menampilkan disiplin penuh dan kini, biarpun format dikurangkan, keyakinan tetap utuh untuk mengulangi kejayaan sama di Bangkok.