Saya tak pernah ajar anak untuk tentang bapa sendiri – Sheila Majid

5 hours ago 7

PETALING JAYA – Lebih dua dekad berpisah dengan komposer Roslan Aziz, penyanyi Datuk Sheila Majid menegaskan tidak pernah mengajar anak-anak bercakap buruk mengenai bapa mereka, sebaliknya sentiasa mengingatkan agar menghormati insan terbabit.

Sheila atau nama sebenarnya Shaheila Abd. Majid berkata, segala isu yang berlaku suatu ketika dahulu hanya membabitkan dirinya dengan bekas suami, sekali gus tidak memerlukan dua permata hati mereka masuk campur.

“Saya ada bagi tahu anak-anak dengan baik. Saya cakap dengan mereka itu adalah bapa awak. Saya tidak pernah mengajar anak saya untuk menentang bapa sendiri.

“Awak suka kah kalau orang cakap buruk fasal bapa awak? Isu rumah tangga hanya berkenaan saya dan bekas suami, bukan antara anak-anak.

“Itu paling penting, saya beritahu mereka jangan masuk campur. Layan saya seperti ibu dan layan bekas suami saya selaku bapa mereka,” katanya pada sesi wawancara dalam program audio siar Kita-Kita Aje, baru-baru ini.

Dikendalikan pengacara Datuk Aznil Nawawi, penyanyi Sinaran itu berkata, didikan yang diterapkan kepada anak-anak sejak kecil adalah dengan mengutamakan adab selain menghormati orang lebih tua.

“Itu yang saya terapkan kepada anak-anak saya iaitu tentang adab, karakter, agama, hormat dan sopan santun. (Cuma) di media sosial kini semua bercakap fasal hak, itu yang huru-hara dibuatnya.

“Sekarang ini mereka sudah dewasa, boleh fikir dan lihat. Mereka sendiri akan tahu tak perlu nak ‘cucuk-cucuk’ (burukkan) dari mereka kecil. Biarkan semua berlalu,” ujarnya.

Menurut Sheila lagi, hubungan dua anak mereka, Wan Nur Khaleda dan Megat Abdul Majid dengan Roslan juga akrab biarpun masing-masing sudah semakin dewasa.

Bahkan dalam keadaan Roslan yang kini kurang sihat disebabkan penyakit kanser limfoma, anak-anak tetap kerap datang menemuinya.

“Anak-anak sampai sekarang masih berjumpa dengan bapa mereka. Hari-hari datang jenguk ayah mereka di Keramat,” ujarnya lagi.

Terdahulu perkahwinan Sheila dengan Roslan yang dibina pada 1989 hanya mampu bertahan selama 11 tahun sebelum mereka memilih untuk bercerai.

Pada 2003, penghibur terbabit mendirikan rumah tangga dengan komposer dan pengarah muzik, Datuk Hashridz Murshim Hassim atau Acis dan dikurniakan dua puteri, Khadeja Zaireen serta Khalifa Laila. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |