SHAH ALAM – Laporan teknikal berhubung insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sebulan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses siasatan tersebut dilakuka Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sejak hari pertama kejadian itu.
Justeru, beberapa penutupan jalan sebelum ini bagi kawasan-kawasan siasatan akan telah ditarik semula bagi membenarkan jalan itu dibuka.
“Hanya Pos Kawalan Hadapan di kawasan bencana dikekalkan supaya kita dapat kawal dan membenarkan pihak seperti JKKP serta pihak teknikal lain melakukan siasatan lanjut.
“Saya anggarkan JKKP memerlukan sekurang-kurangnya sebulan dari sekarang untuk memuktamadkan laporan siasatan itu sebelum dibentangkan ke kabinet dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau memberitahu, laporan itu juga ditawarkan kepada pihak luar melihat sekiranya terdapat keperluannya.
Amirudin menambah, kerajaan negeri kemudiannya akan melantik jawatankuasa panel bebas bagi menilai siasatan itu.
“Ini bagi mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya peristiwa sebegini tidak berulang kembali.
“Kita mempunyai jajaran paip gas dan kawasan berisiko lain seperti jajaran bervoltan tinggi dan paip air yang mempunyai tekanan cukup tinggi,” ujarnya.
Kata beliau, langkah ini supaya bagaimana prosedur operasi standard dapat dicadangkan supaya dapat mengelakkan insiden berulang di mana-mana tempat yang menjadi pengajaran penting kepada kerajaan negeri.
Dalam perkembangan sama, Amirudin menegaskan polis telah menamatkan siasatan kecuaian atau khianat serta kesalahan jenayah lain pada hari ini.
“Laporan sedang disiapkan dan kita jangka dalam seminggu daripada sekarang sebelum dibentangkan untuk perhatian pihak masyarakat.
“Kita akan menilai siasatan oleh jawatankuasa seterusnya bagi memastikan siasatan baik dan telus dapat dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE