Boon Chin hilang ketika ‘joging’, dilema nak sambung belajar atau kerja

3 hours ago 3

PONTIAN – Keputusan kurang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga dilema sama ada untuk menyambung pengajian atau terus bekerja dipercayai menjadi punca seorang remaja menghilangkan diri dari rumahnya di Taman Benut Jaya, Benut sejak Isnin lalu.

Ibunya, Loh Siu Ling, 43, berkata, anaknya, Tan Boon Chin, 18, baharu sahaja mengambil keputusan SPM 2024 dan memperolehi keputusan lulus semua mata pelajaran.

“Dia macam dalam dilema sama ada nak sambung belajar atau bekerja.

“Sebab dia ada bercakap nak pergi kerja sebab kawan-kawan dia ada yang kerja di Singapura,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Suri rumah itu berkata, kali terakhir kelibat anak sulung dua baradik itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) ketika berada di hadapan sebuah perhentian bas di Benut dengan memakai baju biru dan seluar hitam semasa berjoging.

Kata Siu Ling, ketika hari kejadian, anak sulung dua beradik itu keluar beriadah pada pukul 8 pagi sementara dia berada di dalam rumah dan tidak menyangka anaknya tidak pulang ke rumah sejam selepas itu sepertimana hari-hari biasa.

“Dalam rakaman CCTV tersebut tidak merakamkan Boon Chin berulang-alik seperti aktiviti berjogging namun ketika rakaman ketika itu pada pukul 8.05 pagi,”katanya.

Tambah Siu Ling, Boon Chin ketika hilang, anaknnya itu tidak membawa sebarang beg pakaian dan meninggalkan telefon bimbit di rumah.

Jelasnya, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menjejaki Boon Chin termasuklah menghubungi ahli keluarga terdekat namun usaha itu gagal.

Kosmo! semalam melaporkan orang ramai diminta membantu mencari seorang remaja berbangsa Cina berusia 18 tahun yang telah menghilangkan diri dari rumahnya di Taman Benut Jaya, Benut sejak Isnin lalu.

Sekiranya orang ramai yang ternampak orang hilang (OH), boleh menghubungi Ketua Balai Polis Benut Sarjan Mejar (SM) Norazli Salleh melalui nombor 019-7475485 atau talian hotline 07-6869999 atau mana-mana balai polis berhampiran.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |