ALOR SETAR – Kerajaan negeri bercadang untuk melaksanakan kaedah kawalan penjualan vape sebelum menentukan sebarang keputusan berhubung larangan penjualan peranti itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya tidak akan terburu-buru membuat keputusan untuk mengharamkan penjualan vape kerana lesen telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Terengganu telah mula proses untuk melarang penjualan vape sejak 2016 lagi, sekarang 2025 dekat 10 tahun proses itu.
“Kita di Kedah, PBT telah keluarkan lesen untuk premis penjualan vape sebelum ini, jadi bila sudah ada lesen mereka berhak beroperasi, kita tak boleh buat keputusan hari ini, nanti mereka saman kita pula,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Perlis dan Terengganu bakal mengharamkan penjualan vape.
Ia susulan saranan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang mencadangkan kerajaan-kerajaan negeri mengikut langkah Johor yang menguatkuasakan larangan itu melalui peruntukan undang-undang di bawah PBT masing-masing.
Tambah Muhammad Sanusi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mansor Zakaria telah diminta untuk membentangkan kertas cadangan berhubung langkah kawalan tersebut pada Mesyuarat Exco akan datang.
“Langkah kawalan itu akan dilaksanakan sehinggalah lesen-lesen premis penjualan vape tamat dan selepas itu baru keputusan mengenai penjualan vape akan dibuat,” katanya.
Sementara itu, Mansor berkata, kaedah kawalan penjualan vape yang dicadangkan itu sama seperti penjualan rokok di mana produk itu tidak dibenarkan dijual kepada remaja dan kanak-kanak bawah 18 tahun serta tidak boleh diiklankan.
“Sekarang ini kedai vape menggunakan papan iklan mempromosi vape di premis mereka, itu nanti tidak akan dibenarkan. Selain itu, produk tersebut mesti dijual di premis tertutup seperti kedai serbaneka,” katanya.
-habis
Kapsyen:
Muhammad Sanusi (kanan) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Alor Setar, hari ini.