PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik susulan penamatan subsidi telur ayam secara berperingkat yang berkuat kuasa mulai esok.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (Cassa), Jacob George menegaskan, pengguna diharapkan dapat memberi ruang kepada penyesuaian pasaran dalam tempoh dua minggu akan datang.
Katanya, langkah penamatan subsidi ini bukanlah sesuatu yang luar biasa memandangkan Malaysia telah lama memberikan subsidi makanan dalam skala yang besar berbanding negara-negara jiran di ASEAN.
“Kerajaan tidak boleh terus menanggung subsidi selama-lamanya. Kita mesti sedar bahawa kenaikan kos global, termasuk tarif dari negara besar seperti Amerika Syarikat, turut memberi kesan kepada harga barangan asas seperti telur,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa sebarang penarikan subsidi akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna, lebih-lebih lagi apabila melibatkan barangan asas yang digunakan dalam pelbagai jenis makanan harian seperti nasi lemak, roti canai, dan mi goreng.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang kenaikan harga mestilah berpatutan dan tidak berlaku secara mendadak.
“Peniaga juga dinasihatkan agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara berlebihan.
“Saya menjangkakan harga makanan berasaskan telur mungkin meningkat antara 30 hingga 40 peratus bermula bulan depan. Namun kita perlu beri masa kepada peniaga untuk menyesuaikan operasi mereka. Bukan semua akan naik serta-merta,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini memaklumkan kadar subsidi telur ayam dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji bermula esok dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran sudah stabil. – KOSMO! ONLINE