Operator kilang rugi RM449,100 ditipu sindiket skim pelaburan

4 hours ago 2

TAIPING – Seorang operator kilang warga tempatan di sini kerugian RM449,100 setelah terperdaya dengan sindiket skim pelaburan tidak wujud baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kes penipuan tersebut kira-kira pukul 10.36 malam semalam.

Beliau berkata, mangsa menyatakan bahawa dia telah diperdaya dan ditipu oleh satu sindiket tipu pelaburan iaitu S18-Investo Instment Club yang tidak wujud.

“Hasil siasatan awal, pihak polis telah mendapati pada 16 Februari 2025 kira-kira pukul 9.25 malam, semasa mangsa berada di rumahnya, mangsa telah melayari laman Facebook dan berminat untuk menyertai skim pelaburan bernama S18 Investco Instment Club di bawah syarikat Investco yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

“Mangsa telah menekan link “https://chat.whatsapp.com/fgyafoenxt27ed2stuuz8″ untuk dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan berhubung dengan ‘admin group’ bernama Asshley Tan iaitu suspek 1 di talian 014-7792854/019-2164713,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Nasir berkata, mangsa telah ditawarkan dengan pelan keuntungan yang menjanjikan keuntungan beberapa peratus daripada hasil pelaburan bergantung kepada kenaikan harga saham semasa.

Beliau berkata, pada 16 Februari 2025 kira-kira pukul 9.25 malam, mangsa diminta berhubung dengan pengurus bernama Michael Tan (suspek 2) di talian 017-2006127.

“Suspek 2 meminta mangsa memuat naik aplikasi ‘iams flc’ bagi memantau kenaikan mahupun keuntungan saham. Mangsa telah berminat dengan pelaburan yang ditawarkan.

“Mulai tarikh 16 Februari 2025 sehingga 12 April 2025, mangsa telah membuat pindahan wang ke dalam lima buah akaun bank sebanyak 19 kali transaksi melibatkan jumlah keseluruhan RM449,100.00,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, mangsa perlu menyelesaikan pembayaran plan tersebut selama tiga bulan iaitu tarikh matang pelaburan dan kononnya akan mendapat keuntungan.

Beliau berkata, mangsa juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang keuntungan ke dalam akaun mangsa yang berada di dalam aplikasi tersebut sehingga lepas tarikh matang.

“Bagaimanapun, hingga tarikh laporan ini dibuat mangsa masih tidak menerima sebarang keuntungan sepertimana yang dijanjikan. Perbualan di dalam aplikasi WhatsApp mangsa juga sudah tidak dibalas.

“Pada 29 April 2025 kira-kira pukul 5.49 petang, mangsa telah berhubung dengan Bank Hong Leong bagi mendapatkan penjelasan dan pihak bank memaklumkan bahawa mangsa telah ditipu dalam skim pelaburan yang sebenarnya tidak wujud.

“Mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu dan telah membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu) dan siasatan masih dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |