‘Seronok sangat dapat jumpa Rasulullah’

5 hours ago 3

MADINAH – “Mak cik rasa sangat seronok dapat ‘jumpa’ Rasulullah SAW, kawan-kawan pakat kirim salam kepada Baginda.”

Demikian kata Supiah Hussin, 70, apabila impiannya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci termakbul selepas tiba di Madinah kelmarin melalui penerbangan Malaysia Airlines MH8050 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang.

Supiah berkata, air matanya tidak henti-henti mengalir sebaik tiba di Madinah.

“Gembiralah… mak cik tidak pernah sampai lagi ke sini. Air mata tak henti-henti, (hasrat) nak datang ke sini sudah lama tetapi belum termakbul.

“Kali ini ‘dipanggil’ berkerusi roda pun berkerusi rodalah sebab dalam hati terlampau mahu ke sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut warga emas itu, sebelum berlepas ke Tanah Suci, dia sedikit cemas apabila berdepan kesukaran untuk mendaftarkan sistem biometrik jari.

“Prosss biometrik beberapa minggu tidak selesai. Mak cik rasa sudah tak dapat mai (datang) dah, tidur malam tak lena asyik teringat,” kata ibu lima anak berasal dari Pendang, Kedah itu.

Supiah menggunakan kerusi roda kerana mengalami masalah tulang belakang dan menggunakan tongkat untuk bergerak.

Bagi mencukupkan wang menunaikan Rukun Islam kelima itu, dia menjual kuih dengan simpanan antara RM10 dan RM20 sehari.

“Kalau ada orang tempah kuih dapatlah banyak sikit (simpan) selain guna duit (pendapatan) buat bendang,” katanya.

Supiah yang ditemani suaminya, Ahmad Shariffuddin Husin, 71, merupakan antara 284 kumpulan pertama jemaah haji Malaysia termasuk 31 petugas yang tiba di Madinah semalam.

Ahmad Shariffuddin berkata, dia dan isteri menyimpan wang sejak 2009 dan bersyukur apabila mereka berdua mendapat panggilan daripada Tabung Haji (TH).

“Kami berdua rasa bersyukur hingga tidak mampu nak kata apa-apa sebaik diberitahu dapat tunai haji. Dijemput jadi tetamu Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |