KOTA BHARU – Seorang warga emas melecur pada bahagian kaki selepas meredah api untuk menyelamatkan geran tanah selepas rumahnya di Kampung Chempaka, Pengkalan Chepa di sini terbakar dalam kejadian petang semalam.
Kebakaran berlaku kira-kira pukul 4.30 petang semasa Noriah Abdul Rahman, 65, pulang daripada membeli juadah berbuka di kawasan di kampung tersebut.
Jiran mangsa, Norafini Azmi, 36, berkata, salah seorang saudaranya memaklumkan ada terdengar beberapa letupan kecil dan terhidu bau hangit dari rumah warga emas itu.
Menurutnya, dia yang ketika itu sedang memasak bergegas keluar dan mendapati api sedang marak membakar ruang dapur rumah berkenaan dan hampir merebak ke rumahnya.
“Saya meminta bantuan penduduk kampunh memadam kebakaran bagi mengelakkan merebak ke rumah saya kerana angin ketika itu bertiup kencang.
“Dengan bantuan adik-beradik dan penduduk kampung yang menggunakan air tangki, api yang marak itu semakin kurang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.
Norafini memberitahu, selang beberapa minit kejadian itu, Noriah yang pulang membeli juadah berbuka terkejut dan hampir pengsan selepas melihat rumahnya terbakar.
Menurutnya, warga emas itu terus bergegas dan meredah untuk menyelamatkan geran tanahnya di dalam rumah tersebut.
“Ibu saya cuba menghalangnya, namun Noriah tetap masuk ke dalam rumah. Dia dapat mengambil geran tanah itu, namun kakinya melecur terkena api.
“Difahamkan, kebakaran itu berpunca daripada litar pintas pada peti ais di dalam rumah itu. Noriah kini menumpang di rumah anaknya di Kampung Cherang di sini,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mahussin Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.56 petang dan seramai 21 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE