[VIDEO] ‘Tengah bincang nak balik mana raya haji’

2 days ago 11

PETALING JAYA – Adegan dua ekor gajah yang sedang ‘bercinta’ sehingga menghalang laluan jalan raya di Gerik Perak, mencuri perhatian ramai pengguna media sosial.

Mana tidaknya, kedua-dua ekor gajah itu tidak berganjak malah kekal di tengah jalan raya itu sehingga larut malam.

Menerusi video yang dimuat naik @p_joe313, difahamkan pengguna jalan raya dari kedua-dua arah terpaksa berhenti hampir sejam setengah kerana tidak dapat bergerak.

Kedua-dua ekor gajah tersebut dilihat berdiri rapat antara satu sama lain dengan salah seekor daripadanya berpaling ke tepi.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sekiranya benar kedua-dua gajah tersebut adalah berjantina jantan dan betina.

Menerusi video yang dirakam, kelihatan pengguna jalan raya keluar dari kenderaan masing-masing untuk tidak melepaskan peluang merakam momen yang dianggap mencuit hati itu.

“Buat hal lah gajah Bukit Gerik ni, boleh pula ‘dating’ tengah-tengah jalan. Sejam lebih berhenti dua-dua hala. Sampai gelap tak selesai lagi bercinta atas jalan,” tulis pengguna terbabit di videonya.

Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 128,600 tontonan, 2,316 tanda suka dan 367 perkongsian.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang berjenaka kononnya kedua-dua ekor gajah itu sedang memujuk antara satu sama lain untuk pulang ke kampung halaman.

“Dia tengah pujuk ‘isteri’ dia tu, nak balik mana hari raya ni. Sabarlah semua bagi ruang mereka berbincang,” komen Ishawaty.

“Perempuan kalau merajuk memang sudah nak dipujuk. Faham faham jelah,” komen Maslina.

Sementara itu ada juga yang berkata, terdapat hikmah yang terjadi apabila kedua-dua ekor haiwan itu menghalang laluan orang ramai.

“Dari pengalaman saya pernah pelihara gajah kalau ada sesuatu di depan dia akan sekat kita sebab dia lebih tahu apa-apa ada di hadapan,” kata Daus.

“Ada hikmah di sebalik situasi ini. Mungkin korang terselamat dari sesuatu. Makhluk Allah lebih mengetahui,” kata Kalsom pula. – KOSMO! ONLINE

@p_joe313 buat Hal la gajah Bukit gerik ni.. boleh plok dating tgh2 jalan.. #gajahgerik #gajahmengamuk #lebuhrayatimurbarat ♬ pusara dilebuhraya – ◦•●◉✿💞🇷 🇪 🇪 🇿💞✿◉●•◦
Read Entire Article
Pertanian | | | |