NARATHIWAT, THAILAND – Dua buah kenderaan milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah yang dilarikan oleh sekumpulan lelaki pada Ahad lalu ditemukan di Sungai Golok dekat sini petang tadi.
Pengesahan itu berpandukan pendaftaran WC 6955 B yang tertera pada kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner dan trak pikap jenis Mitsubishi Triton dengan nombor plat DED 8748.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, kedua-dua kenderaan itu dikesan memasuki negara ini melalui Pusat Pemeriksaan Kastam Sungai Golok.
Katanya, berpandukan kepada maklumat yang diperoleh, lima lelaki bertopeng dan bersenjata telah melarikan kedua-dua kenderaan tersebut sebelum ini.
“Susulan itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan peringatan berkenaan dua kenderaan curi itu kerana bimbang ia mungkin digunakan untuk tujuan keganasan di wilayah sempadan selatan.
“Berdasadkan maklumat, kedua-dua kenderaan berkenaan diletakkan di Daerah Waeng di sini sebelum dipindahkan ke Daerah Sukhirin. Kedua-duanya di Wilayah Narathiwat,” kataya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber memberitahu, situasi itu menunjukkan kenderaan tersebut berkemungkinan akan dijadikan sebagai bom kereta atau bertujuan untuk menyebabkan pergolakan.
“Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul akan mengadakan lawatan rasmi ke Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani hari ini.
“Semua agensi penguat kuasa di ketiga-tiga wilayah berkenaan telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga khususnya di zon ekonomi,” ujarnya.
Sumber itu berkata, kedua-dua kenderaan itu mungkin telah diubah suai untuk digunakan bagi mencetuskan keganasan.
Katanya, pihak berkuasa telah mengarahkan semua unit penguatkuasaan untuk berjaga-jaga terhadap kedua-dua kenderaan yang sepadan, terutama di kawasan berisiko tinggi.
“Arahan juga dikeluarkan supaya melakukan pemeriksaan rapi terhadap kenderaan dari Malaysia yang mencurigakan,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau melarikan dua buah kenderaan milik pejabat JKM Tanah Merah di sini pada Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, suspek turut mengikat tangan dan kaki pengawal keselamatan yang bertugas di pejabat berkenaan. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
2












































