PETALING JAYA – Menolak dakwaan melakukan pembedahan bariatrik untuk kurus, pelakon juga pelawak Enot menegaskan mampu mendapatkan tubuh langsing selepas tidak mengambil nasi selama setahun selain menolak gula serta bersenam.
Enot atau nama sebenarnya Aliza Abdullah, 46, berkata sebagai bekas pesakit kanser usus dia tidak boleh melakukan kaedah melibatkan bahagian perutnya yang dikatakan berisiko mengancam nyawa.
“Gula pun saya tak ambil. Saya ambil gula titik (pemanis tanpa kalori). Kalau minum kopi saya buat tanpa gula, kopi pahit atau kopi O. Nasi pun saya tak ambil dan ikutkan betul-betul tak makan nasi adalah setahun.
“Saya bekas pesakit kanser usus. Usus saya tak boleh usik langsung, bermakna saya tempah maut kalau saya potong usus.
“Saya diminta menurunkan berat badan kerana mempunyai masalah sakit tulang belakang dan lutut. Tapi kena turunkan secara natural. Jadi saya buat ‘sit up’ 100 kali sebelum tidur, 100 kali selepas bangun,” katanya dalam perkongsian di Instagram.
Menurutnya, segelintir pihak hanya pandai menyebarkan fitnah apabila melihat keadaan fizikal terkininya selepas menurunkan berat badan ke 75 kilogram (kg) berbanding hampir mencecah 100 kg sebelum itu.
“Dulu saya pernah kurus tapi masa zaman sekolah. Itulah mereka cuma tahu asalkan kurus sahaja potong usus.
“Mereka tahu menfitnah tanpa bertanya. Banyak sangatlah duit saya nak potong usus (bariatrik). Hari tu masa bedah lutut pun saya minta bantuan orang. Kelakar,” ujarnya.
Menggunakan bahan alami, kongsinya lagi dia mengambil jus buah-buahan yang diadun sendiri sebagai minuman tambahan.
“Saya juga suka membaca dan mengamalkan pengambilan jus termasuk lemon serta nanas yang dikisar sendiri untuk membuang angin dalam badan,” katanya.
Minggu lalu pelakon drama Hello Jodoh itu berkongsi gambar terbaru yang menunjukkan perubahan fizikal ketara apabila semakin langsing sekali gus menyerlahkan kejelitaannya.
Penampilan Enot mengundang pujian netizen yang kagum dengan kejelitaannya selepas berjaya kurus sehingga ada yang menyamakan Enot dengan penyanyi Indonesia. – KOSMO! ONLINE