Trak pikap terbabas punca nahas seorang maut, 13 cedera di Machang

2 days ago 13

MACHANG – Nahas yang mengorbankan seorang lelaki di Kilometer 9.4, Jalan Machang-Pasir Puteh dekat Kampung Banggol Judah di sini tengah malam tadi dipercayai berpunca daripada sebuah trak pikap terbabas sebelum bertembung dengan dua buah kereta di laluan bertentangan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, mangsa, Zulkifli Salleh, 54, yang memandu kereta jenis Proton Waja meninggal dunia di lokasi akibat tersepit di dalam kereta tersebut.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati, sebuah trak pikap jenis Chevrolet Colorado dinaiki lima individu sedang dalam perjalanan dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh.

Menurutnya, pada masa sama, kereta Proton Waja dinaiki mangsa dengan membawa loma penumpang sedang dalam perjalanan dari arah Pasir Puteh ke Machang

“Semasa tiba di lokasi kejadian, trak pikap itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

“Keadaan itu menyebabkan kenderaan tersebut bertembung dengan kereta mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dinaiki tiga individu.

“Pemandu kereta jenis Proton Waja disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala 13 lagi mangsa daripada tiga buah kenderaan mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ahmad Shafiki memberitahu, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Machang di sini manakala 13 mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama dan Hospital Tanah Merah dekat sini untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, hasrat sebuah keluarga untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Machang-Pasir Puteh dekat Kampung Banggol Judah di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.45malam itu, Zulkifli yang memandu kereta jenis Proton Waja meninggal dunia di lokasi akibat tersepit di dalam kereta tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |