KUALA LUMPUR – Selangor Red Giants OG Esports (SRG) terus menepati status selaku gergasi eSukan tanah air apabila muncul wakil Malaysia pertama menyambar tiket ke Piala Pertengahan Musim (MSC) di Piala Dunia e-Sukan (EWC) 205 berlangsung di Riyadh, Arab Saudi bulan depan.
Menariknya, SRG berpeluang mengulangi sejarah tahun lalu menyaksikan mereka menjuarai MSC 2024 dengan penganjuran edisi kali ini menawarkan hadiah lumayan terkumpul bernilai AS$3 juta (RM12.693 juta).
Kejayaan itu hadir selepas SRG mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini untuk mara ke Grand Final Liga Profesional Malaysia (MPL MY) Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Musim Ke-15 yang telah berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Kini, satu lagi sejarah mampu diukir oleh SRG apabila hanya selangkah lagi untuk merekodkan kemenangan hatrik sebagai juara MPL Malaysia selepas mendominasi dua edisi terdahulu.
SRG yang beraksi di peringkat upper bracket, melangkah ke Grand Final selepas menewaskan AERO Esports (AERO) 2-0 di separuh akhir sebelum menang 3-2 ke atas Homebois dalam pertembungan penuh dramatik di perlawanan akhir.
Ketua jurulatih SRG, Michael Bocado yang lebih dikenali sebagai Arcadia berkata, kejayaan pasukannya bukan sekadar teknikal permainan, tetapi juga disebabkan kekuatan mental para pemain.
“Saya rasa ia tentang ketahanan diri kerana apabila kita bersaing di pentas antarabangsa, mereka akan menghantar wakil terbaik mereka. Kita benar-benar perlu menguji kemampuan, bukan sahaja dari segi permainan, tetapi juga dari segi mental.
“Lihat sahaja apa yang kami lalui di MSC yang lepas (di Grand Final), di mana kami terpaksa bermain hingga ke Game 7. Jadi, memang perlu bersedia untuk apa jua situasi yang berlaku di pentas antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua eSukan Malaysia di Moonton Games, Fikri Rizal Mahruddin menyifatkan pencapaian SRG menunjukkan mereka sebagai penanda aras kecemerlangan dan pasukan eSukan paling popular di negara.
“Persekitaran positif dan berdaya saing tinggi melonjakkan lagi tahap bagi pemain dan barisan kejurulatihan bertaraf dunia mereka.Banyak sebab untuk percaya mereka akan pertahankan kejuaraan, bukan sahaja di MPL Malaysia, tetapi juga di MSC sempena EWC 25,” jelasnya.
Fasa kedua playoffs MPL Malaysia Musim Ke-15 disambung semula pada 14 dan 15 Jun ini menyaksikan Aero Esport menghadapi DX Soul dan pemenang akan bertarung dengan Homebois merebut tiket ke Grand Final. – KOSMO! ONLINE