Sindiket guna sijil halal meragukan seludup 187.8 tan ayam, itik beku

4 hours ago 4

KLANG – Aktiviti penyeludupan makanan sejuk beku berskala besar seberat 187. 8 tan membabitkan isu sijil halal berjaya dibongkar selepas menahan tujuh buah kontena di Pelabuhan Utara, minggu lalu.

Operasi itu dijalankan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) susulan maklumat orang awam dengan semua kontena terbabit yang dipercayai tiba sejak Mac lalu.

Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, hasil pemeriksaan mendapati enam daripada kontena berkenaan mengandungi ayam sejuk beku, manakala satu lagi membawa itik sejuk beku.

Katanya, semakan mendapati terdapat pemalsuan dokumen terhadap nilai keseluruhan barang dagangan dianggarkan bernilai RM1.06 juta.

“Antara dokumen palsu tersebut adalah invois dan senarai pembungkusannya tidak sama dengan notis ketibaan. Malah sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah meragukan dan disyaki palsu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan turut mendapati sijil kesihatan juga adalah palsu seterusnya boleh membawa risiko penyakit ayam ‘avian influenza’ dan ‘Newcastle disease’.

Tambahnya, semakan awal mendapati kontena-kontena itu berasal dari China namun produk dagangannya dari negara jiran.

“Kita tidak menolak kemungkinan penyeludupan ini dibuat sindiket tempatan. Setakat ini, kita telah mengenal pasti beberapa ejen berkaitan. Justeru, semakan akan diteruskan terhadap barang dagangan yang dibawa ejen dan pengimport tertentu secara mendalam,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan satu kontena mengandungi babi sejuk beku dsri Australia seberat 25,000 kilogram tanpa permit Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“Kes akan diserahkan kepada Maqis untuk siasatan lanjut dan barang dagangan akan dilupuskan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nik Ezanee berkata, sejumlah 231 kontena barang dagangan telah ditahan sejak Januari hingga Mac dengan nilai keselurhan dagangan bernilai RM36.2 juta.

“Daripada jumlah itu, siasatan di bawah Maqis melibatkan 80 kes bernilai RM18.8 juta diikuti 54 di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) berjumlah RM11.2 juta dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebanyak 97 kes bernilai RM5.95 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |