‘Sampai sekarang saya takut keluar rumah’

1 day ago 15

GUA MUSANG – Ahli keluarga yang maut dibaham seekor harimau belang di Pos Pasik di sini, hampir dua tahun lalu masih sukar melupakan kejadian yang menimpa lelaki Orang Asli suku kaum Temiar itu selain takut untuk keluar rumah.

Dalam kejadian pada 3 Oktober 2023 itu, mangsa, Pisie Amud, dari Kampung Sugi, Pos Pasik di sini ditemui penduduk kampung dengan kesan cakaran kuku harimau di bahagian kepala dan badan, selain sebelah kaki kirinya hilang selepas keluar menyumpit di kawasan hutan.

Isteri mangsa, Syahira Hamid, 22, berkata, sehingga kini dia masih tidak mempunyai kekuatan untuk menjenguk kubur suaminya.

Katanya, sejak peristiwa itu, ahli keluarganya juga takut untuk ke kebun seorang diri kerana masih trauma dengan kejadian serangan harimau belang.

“Selepas kematian suami, saya takut untuk keluar rumah dan perlu berteman jika hendak ke mana-mana.

“Dua anak perempuan arwah Nur Haura, 2, dan Finka, 4, juga tidak bertanya tentang bapanya kerana ketika kejadian mereka masih kecil,” katanya ketika ­ditemui di Pos Pasik di sini semalam.

Syahira berkata, dia ­bersyukur apabila menerima faedah pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial kira-kira RM900 sebulan.

Katanya, wang berkenaan digunakan bagi membeli susu anak, makanan dan keperluan keluarganya.

Dalam pada itu, datuk kepada arwah Pisie, Aznan Siam, 59, turut masih bersedih dengan kejadian yang menimpa cucunya pada 2023 itu.

“Sehingga kini saya masih teringat kejadian hitam yang me­nimpa cucu lelaki. Kesan kecederaannya masih terbayang-bayang dalam fikiran,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki Orang Asli dilaporkan maut dibaham seekor harimau belang ketika keluar ­menyumpit seorang diri di kawasan ladang kelapa sawit di Pos Pasik di sini pada 3 Oktober 2023.

Read Entire Article
Pertanian | | | |