Salur penjimatan subsidi untuk biaya pembangunan Malaysia

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Minyak dan gas merupakan sumber yang penting dalam ekonomi, terutamanya kepada negara-negara pengeluar.

Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar minyak turut menerima manfaat daripada sumber tersebut.

Malah, minyak dan gas merupakan komponen penting untuk ekonomi Malaysia dan menyumbang  kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan.

Hasilnya disalurkan untuk membiayai pelbagai projek sosial berskala besar dan kecil, manakala kesannya dapat dinikmati oleh rakyat.

Sektor minyak dan gas  juga menjadi penjana pendapatan terbesar buat Malaysia dengan menyumbang pendapatan sehingga RM300 bilion setiap tahun kepada negara.

Selain itu, hasil yang diperoleh negara juga turut dibelanjakan untuk subsidi bagi sektor-sektor tertentu.

Hakikatnya, rakyat Malaysia telah lama menikmati subsidi yang disalurkan kerajaan termasuk subsidi bahan api diesel dan petrol.

SEKTOR minyak dan gas  juga menjadi penjana pendapatan terbesar buat Malaysia. GAMBAR HIASAN

Matlamat asal pemberian subsidi adalah sebagai satu inisiatif membantu meringankan beban rakyat bagi meminimumkan kos sara hidup.

Namun begitu, pemberian subsidi yang bersifat pukal sebenarnya memberi bebanan kepada kewangan kerajaan.

Ini kerana pemberian subsidi secara pukal ini turut dinikmati oleh golongan yang tidak layak sebenarnya termasuk warga asing yang ada di negara ini.

Oleh itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerajui Kerajaan Madani mengambil langkah tidak popular dengan merasionalisasi subsidi yang dilaksanakan secara berperingkat.

Tahun lalu, kerajaan telah mengambil langkah dengan melakukan penyasaran subsidi diesel dan pertengahan tahun ini penyasaran subsidi petrol RON95 akan dilaksanakan.

Pakar ekonomi merangkap Pengarah Program MBA di Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pemberian subsidi bahan api yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini sedikit sebanyak telah menyebabkan ketirisan berlaku.

Menurutnya, jika kerajaan terus memberikan subsidi secara pukal kepada semua golongan masyarakat, ia akan merugikan negara sebenarnya.

Ahmed Razman

“Jika harga minyak kekal tinggi maka beban subsidi kerajaan juga akan meningkat. 

“Dalam satu konteks apa yang kita boleh lihat, apabila kerajaan merealisasikan penyasaran subsidi diesel sebelum ini, penjimatan yang dapat diperolehi adalah sekitar RM4 bilion,” katanya.

Tambahnya, penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun ini, akan membolehkan kerajaan dapat berjimat sehingga RM8 bilion.

Dalam pada itu, meskipun penyasaran subsidi diesel telah dilaksanakan harga untuk bahan bakar itu di Malaysia masih lagi murah jika dibanding dengan negara jiran iaitu Thailand, Indonesia dan Singapura.

Harga terkini untuk diesel di Thailand adalah AS$0.98 (RM4.30), Indonesia AS$0.87 (RM3.85)  dan  Singapura AS$1.90 (RM8.40) seliter.

Sementara itu, memetik laporan portal berita Nation Thailand, sehingga Ogos tahun lalu, langkah mensubsidi bahan api tersebut juga telah menyebabkan Thailand mengalami defisit untuk Dana Bahan Api Minyak sebanyak AS$3.2 billion (RM14.1 bilion).

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, penjimatan daripada penyasaran subsidi diesel dan RON95 membolehkan kerajaan menggunakannya untuk membiayai inisiatif pembangunan Malaysia.

“Ketika ini, untuk perbelanjaan pembangunan dibiayai sepenuhnya dengan pinjaman baharu oleh kerajaan.

“Jika banyak penjimatan dapat diperolehi melalui penyasaran semula subsidi kemungkinan pembiayaan untuk pembangunan infrastruktur tidak perlu lagi dibiayai oleh hutang baharu,” jelasnya.

Pada 2023, kerajaan membelanjakan RM14.3 bilion untuk subsidi bahan api, lonjakan 10 kali ganda daripada RM1.4 bilion pada 2019.

Untuk itu, Malaysia kini turut mengikut langkah-langkah negara pengeluar minyak lain untuk menyasarkan semula subsidi.

Pengeluar minyak utama di Afrika seperti Nigeria, Ghana, dan Kenya telah pun menghapuskan subsidi minyak.

Harga terkini minyak di Nigeria adalah AS$0.76 (RM3.3O), Ghana adalah AS$1.05 (RM4.60)  dan di Kenya pula AS$1.36 (RM5.90) seliter.

Manakala di Norway, pengeluar minyak utama di Eropah, harga purata petrol terkini ialah AS$1.22 (RM5.3) seliter.

Sementara itu, keputusan untuk mengamalkan mekanisme subsidi bersasar turut mendapat sokongan meluas.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) antara kumpulan yang menyuarakan sokongan kepada penyasaran subsidi.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, subsidi mestilah bagi mereka yang memerlukan.

“Bukan bagi semua orang tanpa mengira status ekonomi mereka,” katanya.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia pula berkata, dasar untuk mengurangkan, atau menarik balik subsidi akan mengurangkan perbezaan harga di kawasan-kawasan sempadan.

Harga bahan api yang rendah di Malaysia telah menggalakkan penyeludupan komoditi itu ke negara-negara jiran, di mana harganya jauh lebih tinggi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, penting untuk pihak kerajaan  memberi penjelasan berhubung pelaksanaan subsidi bersasar.

Menurutnya, sehingga kini, persoalan tentang ukuran kelayakan dan kaedah pelaksanaan subsidi petrol bersasar, masih belum dimuktamadkan.

“Malah perkara paling asas yang masih belum terjawab, pengkelasan T15 dan B85 iaitu 15 peratus golongan atasan, 85 peratus golongan bawahan, sebagaimana yang diungkapkan Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu, masih menjadi teka-teki hingga ke hari ini.

“Perlu juga difahami bahawa, kesan sesuatu kenaikan kos adalah bersifat berantai dan berangkai, walaupun dikatakan 85 peratus rakyat tidak akan terjejas dengan pengurangan subsidi ini, namun kesan berantai daripada kenaikan kos pengeluaran dan kos bahan api, pasti akan dipindahkan akhirnya kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barang, makanan dan perkhidmatan, tidak kira B40 ataupun M40,” jelasnya di Facebook baru-baru ini.

Tambahnya, kejelasan dalam perkara ini, layak ataupun tidak untuk menerima subsidi adalah penting bagi membolehkan rakyat dapat menyusun belanjawan peribadi, belanjawan keluarga dan belanjawan perniagaan, seterusnya menyerap segala kesan yang terhasil daripada segala peruntukan dan pemotongan yang diluluskan dalam belanjawan kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd. Syahir berkata, kerajaan pastinya telah mengenal pasti cabaran pelaksanaan subsidi petrol dan diesel secara bersasar di kawasan luar bandar yang menghadapi kekurangan infrastruktur digital, apatah lagi sekiranya kerajaan berhasrat menggunakan kaedah ‘imbasan’ kad pengenalan bagi penyaluran subsidi petrol RON95.

Beliau yakin kajian mendalam juga pastinya telah dijalankan bagi memastikan penyasaran subsidi tidak menjejaskan kesaksamaan antara negeri dan wilayah, khususnya di kawasan yang bergantung kepada penggunaan petrol dan diesel untuk sektor-sektor utama.

“Justeru aspek kejelasan dan kepastian di pihak kerajaan amatlah penting bagi memastikan cabaran subsidi, inflasi, dan keberhutangan rakyat dapat ditangani dengan berkesan, supaya tidak berubah menjadi ‘pasir jerlus’ yang kelihatan masih jauh, tetapi sebenarnya teramat dekat kepada negara dan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |