RM300 sebulan untuk ‘bilik maut’

5 hours ago 6

KLANG – Bayar sewa serendah RM300 sebulan, namun nyawa menjadi taruhan apabila penghuni terpaksa mendiami bilik-bilik sempit yang diubah suai daripada ruang pejabat tanpa laluan kecemasan.

Lebih membimbangkan, unit bilik berkenaan turut dihuni keluarga termasuk kanak-kanak dan bayi, manakala bahagian hadapan serta belakang dipasang gril sehingga menjadikan unit berkenaan umpama ‘bilik maut’.

Perkara itu terbongkar menerusi Ops Rumah Sarang Burung terhadap sembilan premis pejabat di Jalan Pasar Baru di sini, dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor bermula pukul 11 pagi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya Diraja Klang dan Jabatan Imigresen (JIM) Selangor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, operasi dijalankan susulan kebimbangan terhadap keselamatan penghuni premis yang diubah suai daripada pejabat kepada kediaman.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati ruang pejabat berkeluasan 20 x 70 kaki telah diubah suai menjadi lapan unit bilik.

“Kita nampak tadi, ada berkeluarga dan bujang. Ada anak ramai. Majoriti penghuninya adalah pendatang asing sebab lokasi kerja mereka berdekatan.

“Jika berlaku kecemasan atau kebakaran, keadaan depan dan belakang yang dihalang gril serta hanya mempunyai satu laluan tangga di tengah premis menyebabkan tiada jalan keluar keselamatan. Ini boleh menjadi perangkap maut,” katanya pada sidang akhbar di lokasi operasi, hari ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati kebanyakan penyewa terdiri daripada etnik Rohingya, selain keadaan ruang yang sempit, pengudaraan terhad dan menyesakkan nafas, serta terdedah kepada bau dari kompleks pasar besar Meru yang terletak kira-kira 50 meter dari premis.

Menurut Wan Md. Razali, pihaknya akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) bagi menghapuskan bahaya kebakaran terhadap pemilik premis terbabit.

Katanya, tempoh pembetulan akan diberikan mengikut tahap keseriusan pengubahsuaian, termasuk sehingga 60 hari atau lebih singkat jika melibatkan laluan keluar yang terhalang.

“Jika tidak patuh akan ambil tindakan pendakwaan mengikut Seksyen 10/Seksyen 58 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun tau kedua-duanya bagi setiap kesalahan serta boleh dikenakan Perintah Penutupan Premis oleh mahkamah, jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat kes terbaharu membabitkan seorang lelaki warga emas dan anak saudaranya yang maut selepas terperangkap dalam unit bilik berkonsepkan ‘rumah burung’ di sekitar daerah ini pada 12 Ogos lalu.

Jelasnya, kedua-dua mangsa ditemui maut akibat sesak nafas selepas cuba menyelamatkan diri di dalam bilik air dan tandas.

“Memang banyak kedai pejabat (dan rumah kedai) dijadikan tempat penginapan dalam keadaan padat dan tidak tersusun, tidak berstruktur dengan baik.

“Kita akan laksanakan operasi secara berkala dan berterusan dalam memastikan penghuni di premis sebegini dalam keadaan terkawal dan selamat,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang penghuni daripada etnik Rohingya dikenali Zahidullah, 30-an memaklumkan telah tinggal 10 tahun di unit rumah tersebut.

“Dekat sini, saya tinggal bersama ahli keluarga dan isteri serta bayar RM300 untuk setiap bilik. Ini sahaja tempat yang murah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |