Kedah mungkin berdepan tuntutan ganti rugi premis judi

5 hours ago 6

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah tidak menolak kemungkinan berdepan tuntutan ganti rugi daripada pengusaha premis perjudian susulan keputusan tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis tersebut sejak 2023.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya bersedia sekiranya pengusaha premis terbabit mengambil tindakan mahkamah bagi menuntut ganti rugi susulan dasar berkenaan.

“Dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri selepas mahkamah mendapati kita tak ada kuasa itu (mengharamkan judi), kita kena tanggung ganti rugi ini. Ganti rugi itu mungkin banyak sehingga beratus juta.

“Kita bukan tahu syarikat judi untung berapa, kalau tidak depa tak pulun sampai tahap ini tetapi kita lawan dulu sebab sekupang (10 sen) pun duit kita nak bagi kat syarikat judi, kita lawan sampai dinding,” katanya pada Sesi Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah di sini malam tadi.

Kata beliau, tuntutan ganti rugi boleh dicabar sekiranya pendapatan daripada operasi premis terlibat tidak pernah diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Adakah selama beroperasi di Kedah, mereka isytihar pendapatan sebenar kepada LHDN atau tidak. Kalau tak isytihar dan ada tuntutan mudah nak patahkan.

“Kalau isytihar, sebanyak mana depa isytihar kena bicara di mahkamah, kita perang lagi untuk depa dapat ganti rugi selama kita tidak bagi lesen premis. Tapi akan terhidang kepada kita nanti berapa syarikat judi untung di Kedah. Mesti dia untung kalau nak isytihar ganti rugi berapa kita kena bayar,” ujarnya.

Pada masa sama, Muhammad Sanusi mendakwa bahawa beliau dimaklumkan kononnya terdapat kutipan wang perlindungan kepada aktiviti perjudian haram dalam tempoh lesen-lesen premis perniagaan itu tidak dikeluarkan.

“Ada pihak yang berautoriti beritahu saya perlindungan kepada aktiviti perjudian haram di Kedah sewaktu tempoh lesen-lesen tidak dikeluarkan ini sebulan RM7 juta. Ada orang kutip dan bahagi sama-sama depa,” dakwanya.

Sementara itu, beliau berkata, tanggungjawab untuk meluluskan atau tidak lesen perjudian di Kedah selepas ini terletak kepada Kementerian Kewangan selepas pihaknya gagal menghalang pengeluaran lesen premis untuk perniagaan itu.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya bertanggungjawab mengeluarkan lesen premis selepas pengusaha mendapat kelulusan untuk beroperasi daripada kementerian itu.

Dalam pada itu, pada sesi penjelasan sama, Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) Pas, Wan Rohimi Wan Daud berkata, kekalahan dalam kes lesen premis judi bukan noktah kepada usaha Kedah membanteras kegiatan itu kerana PBT masih mempunyai ruang menggunakan kuasa sedia ada untuk menyukarkan operasi perjudian.

Katanya, kuasa PBT di bawah Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) boleh digunakan secara optimum bagi mengawal selia premis dan aktiviti perniagaan dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

“Ahli-ahli majlis perlu berfungsi dan menggunakan kepakaran mereka dengan sebaiknya, termasuk mengetatkan syarat, membuat pengezonan serta menggunakan kuasa yang dibenarkan undang-undang,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan premis perjudian di negeri itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |