Kes tikam di sekolah: Pembelaan tutup kes, hujahan lisan 8 September ini

5 hours ago 5

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 8 September ini bagi hujahan lisan kes pelajar lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh juvana berusia 15 tahun selepas prosiding kes hari ini.

Menurut peguam itu, Hakim Adlin Abdul Majid menetapkan tarikh tersebut selepas pihaknya memaklumkan pembelaan menutup kes selepas saksi pembelaan kedua iaitu Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony selesai memberi keterangan pada pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula.

“Mahkamah menetapkan 3 September ini bagi pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis manakala 8 September untuk hujahan secara lisan sebelum keputusan kes,” kata peguam itu.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki berusia 14 tahun itu (umur ketika kejadian) didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama di sini antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak pada masa kesalahan itu dilakukan.

Sebaliknya, Seksyen 97(2) memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan atas kesalahan sedemikian hendaklah ditahan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika kesalahan itu dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, atau selama diperkenankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri jika kesalahan itu dilakukan di sesebuah negeri.

Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan pelajar lelaki itu membela diri atas pertuduhan berkenaan.

Hakim Adlin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pendakwaan kes itu.

Kitson berkata, anak guamnya kemudian memilih memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Sebelum ini pihak pendakwaan menutup kes dengan saksi pendakwaan terakhir ke-11 iaitu pegawai penyiasat kanan Asisten Superintendan Ahmad Zarrin Abd Rashid selesai memberi keterangan.

Untuk rekod, sepanjang perbicaraan berlangsung antara saksi-saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan ialah tiga kanak-kanak, guru sekolah, ibu mangsa dan pakar patologi.

Sepanjang prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman.

Remaja lelaki itu identitinya tidak boleh didedahkan atau dirakam gambarnya kerana masih di bawah umur manakala sepanjang prosiding ia dijalankan secara tertutup (in camera). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |