KOTA BHARU – Abang kepada remaja perempuan yang dibunuh dengan 61 tikaman dari muka hingga ke kaki sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini hari ini tidak menyangka suspek dalam kes tersebut sanggup bertindak kejam dengan menikam adiknya tanpa belas kasihan.
Mangsa, Nurfisya Zulkifly, 19, ditemukan oleh penduduk kampung di kawasan tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.
Abang sulung mangsa, Muhammad Faris Zulkifly, 21, berkata, keluarganya terkejut selepas menerima panggilan telefon daripada polis 12.30 tengah hari sebelum bergegas Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini dari Kuala Kangsar, Perak.
Menurutnya, dia yang tidak dapat menerima khabar tersebut terus bertindak mematikan panggilan telefon dan mendapat maklumat lanjut mengenai kematian arwah Nurfisya selepas membaca berita dalam talian daripada beberapa akhbar.
“Ibu bapa saya lemah selepas mengetahui kejadian ngeri yang menimpa Nurfisya. Tergamak dia tikam adik saya sampai 61 kali.
“Setahu saya, arwah tiada teman lelaki. Kali terakhir saya berjumpa arwah pada Sabtu lalu selepas menghantarnya ke Kolej Pengajian Tinggi Mara (KPTM) Kota Bharu di sini selepas dia tamat bercuti semester ketiga Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di kolej berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik HRPZ II di sini hari ini.
Muhammad Faris memberitahu, ketika berada di Perak, dia sempat memenuhi permintaan adik antaranya merakam gambar bersama replika kereta idaman arwah iaitu kereta jenis Mini Cooper.
Menurutnya, arwah Nurfisya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik sudah lama mengimpikan untuk memiliki kereta Mini Cooper dan dia berazam untuk membelinya apabila sudah bekerja nanti.
“Saya berpuas hati kerana sempat memenuhi permintaan arwah dan sangat terkejut dengan kejadian yang berlaku kepada Nurfisya. Saya dan keluarga memohon pihak polis memburu segera penjenayah yang sanggup bertindak kejam terhadap arwah adik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2


![[VIDEO] Mas kahwin pohon emas RM15,000, Radin sah suami orang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-01-at-21.27.33.jpeg)
![[VIDEO] ‘Cik kak, awaklah kena stop dulu, orang tu main road’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/a3f48aef-4e7d-4afa-83ee-757a33aa716e.jpeg)






![[VIDEO] ‘Kasut ni anak beli, tapi dia meninggal dulu sebelum pergi haji’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-01-at-10.41.15.jpeg)



































