Sulong memang cedera, tapi mampu makan, bergerak dengan baik – Perhilitan

1 hour ago 2

PETALING JAYA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan seekor gajah liar jantan dewasa yang dipercayai Sulong Chalil mengalami kecederaan pada kaki sebelah kanan, namun masih mampu makan dan bergerak dengan baik.

Perhilitan dalam kenyataan hari ini berkata, gajah berkenaan dikesan berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik sejak 17 Ogos lalu dan pemantauan berterusan sedang dilakukan terhadap keadaannya.

Menurutnya, hasil pemantauan Perhilitan Perak mendapati keadaan fizikal serta tingkah laku haiwan itu masih normal walaupun mengalami kecederaan.

“Keadaan luka juga didapati semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

“Jabatan Perhilitan telah mengambil tindakan menggiring gajah tersebut kembali masuk ke kawasan hutan serta melaksanakan pemantauan terhadap pergerakan dan keadaannya,” katanya.

Menggiring bermaksud menghalau atau mengarahkan binatang ke suatu tempat.

Bagaimanapun menurut Perhilitan, haiwan itu didapati masih kembali ke kawasan jalan raya menyebabkan pemantauan serta tindakan menggiring akan diteruskan dua kali sehari, masing-masing pada waktu siang dan malam.

Katanya, kesiapsiagaan anggota di lapangan turut diperkukuhkan termasuk mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan keadaan fizikal dan kecederaan haiwan itu serta keperluan tindakan susulan.

Terdahulu, Sulong dikatakan berasal dari Chalil, Gua Musang sebelum ini dipindahkan Perhilitan dari Gua Musang ke Gerik, Perak bagi mengelakkan konflik dengan penduduk termasuk gangguan terhadap tanaman.

Bagaimanapun, kemunculan semula gajah yang dipercayai Sulong di beberapa lokasi sepanjang laluan menuju ke Kelantan mencetuskan perhatian ramai, dengan orang ramai kini mengikuti perkembangan perjalanannya untuk kembali ke kawasan asal.

Dalam pada itu, Perhilitan menasihatkan pengguna JRTB khususnya sekitar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa supaya memperlahankan kenderaan dalam lingkungan lima kilometer sebelum tiba di hentian itu dari kedua-dua arah.

“Pengguna JRTB khususnya sekitar Gerik dan R&R Titiwangsa diminta sentiasa berhati-hati, tidak panik serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |