JAKARTA – Pesawat jenis Bombardier CL-415MP didakwa milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menunjukkan keupayaannya dalam operasi memadamkan kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di Pulau Sumatera, lapor laman berita Riau Online.
Dalam satu rakaman yang tular, pesawat dengan nombor pendaftaran M71-02 tersebut kelihatan melakukan ‘water scooping’ atau penyedutan air di Sungai Lumpur, wilayah Sumatera Selatan, sebelum kembali menuju ke lokasi kebakaran.
Pesawat itu mampu mengangkut lebih 6,000 liter air pada satu masa.
Proses penyedutan air dari sungai tersebut dilaporkan hanya mengambil masa sekitar 12 saat.
Daripada proses penyedutan air hingga kembali ke lokasi titik api, keseluruhan rangkaian penerbangan tersebut dikatakan hanya mengambil masa kira-kira tujuh minit.
Pesawat itu kemudiannya digunakan untuk melakukan ‘water bombing’ di kawasan yang terjejas akibat kebakaran.
Pada awal operasi, kawasan yang menjadi sasaran pemadaman dilaporkan mencecah kira-kira 20 kilometer persegi di sekitar Sungai Lumpur dan kawasan sekelilingnya.
Pesawat Bombardier CL-415MP merupakan varian khas daripada pesawat pemadam kebakaran amfibia CL-415.
Selain mempunyai keupayaan water bombing, varian tersebut turut direka untuk menjalankan pelbagai misi lain, termasuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta rondaan maritim.
APMM Malaysia diketahui mengendalikan dua unit CL-415MP dengan nombor pendaftaran M71-01 dan M71-02.
Pesawat tersebut sebelum ini pernah digerakkan oleh Malaysia bagi membantu menangani kebakaran hutan di Sumatera pada tahun 2015.
Dalam operasi berkenaan, pesawat CL-415MP ditempatkan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin II, Palembang, bagi menyokong usaha pemadaman karhutla. – AGENSI

9 hours ago
7





![[VIDEO] ‘Berjerebu teruk pagi tadi, petang Allah turunkan hujan’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/jerebu-hujan.jpeg)





























![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)













