Pekerja swasta Selangor belum tentu dapat cuti 1 September

6 hours ago 6

PETALING JAYA – Pengumuman cuti peristiwa di Selangor pada 1 September ini mungkin menggembirakan ramai, namun pekerja sektor swasta tidak semestinya menikmati kelepasan tersebut secara automatik.

Perkara itu dijelaskan seorang perunding sumber manusia (HR), Khairul Atlas menerusi perkongsian di Threads yang mendapat perhatian ramai selepas timbul persoalan mengenai kedudukan pekerja swasta susulan pengumuman cuti berkenaan.

Menurutnya, cuti peristiwa yang diumumkan Kerajaan Negeri di bawah Seksyen 9(1), Akta Hari Kelepasan 1951 tidak secara automatik mewajibkan semua syarikat swasta di Selangor memberikan cuti kepada pekerja.

“Ramai bertanya, adakah syarikat swasta di Selangor wajib bercuti pada 1 September 2026? Jawapannya, tidak wajib.

“Cuti peristiwa itu diumumkan oleh Kerajaan Negeri di bawah Seksyen 9(1), Akta Hari Kelepasan 1951. Bagi sektor swasta, Seksyen 60D(1) (b), Akta Kerja 1955 hanya mewajibkan cuti tambahan yang diisytiharkan oleh Menteri di bawah Seksyen 8,” katanya.

Bagaimanapun katanya, majikan masih perlu memberikan cuti berkenaan sekiranya 1 September sudah dipilih sebagai salah satu cuti syarikat atau termaktub dalam kontrak pekerjaan.

Penjelasan itu turut mencetuskan persoalan pengguna media sosial sama ada pekerja layak mendapat cuti gantian sekiranya majikan memilih untuk beroperasi seperti biasa pada tarikh tersebut.

Menjawab persoalan itu, Khairul berkata pekerja juga tidak secara automatik berhak mendapat cuti gantian sekiranya syarikat tidak mengiktiraf cuti peristiwa berkenaan sebagai cuti syarikat.

“Kalau syarikat tidak mengambil cuti peristiwa itu, 1 September dikira hari bekerja biasa. Tiada cuti ganti dan tiada bayaran cuti umum.

“Cuti ganti hanya timbul jika syarikat memang mengiktirafnya sebagai cuti syarikat tetapi menggantikannya dengan hari lain,” jelasnya.

Sementara itu, ruangan komen perkongsian berkenaan turut dibanjiri pelbagai reaksi pekerja swasta dengan ada yang gembira selepas majikan masing-masing memilih untuk memberikan cuti, manakala sebahagian lain perlu bekerja seperti biasa.

Seorang pengguna mendakwa pihak sumber manusia di tempat kerjanya sudah memaklumkan lebih awal bahawa syarikat tidak mengambil cuti berkenaan, malah tiada cuti gantian diberikan.

“HR kita dah umum awal-awal, syarikat tak ambil cuti ini. Cuti ganti pun tiada,” kata Atiya.

Seorang lagi pengguna yang bekerja di kilang turut berkongsi situasi sama apabila tempat kerjanya tidak mengambil cuti berkenaan, namun dia terpaksa memohon cuti kerana pengasuh anaknya bercuti.

“Kilang tak ambil pun cuti ini. Tapi pengasuh aku minta cuti. Terpaksa aku cutikan diri aku,” ujar Qisya.

Dalam pada itu, terdapat juga pekerja yang menerima berita gembira apabila majikan masing-masing bersetuju memberikan cuti.

“Alhamdulillah bos aku awal-awal yang beritahu pasal cuti Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026. Malam tadi dia yang bagi gambar pengumuman 1 September cuti,” kata seorang pengguna.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan 1 September sebagai cuti peristiwa di negeri itu sempena kejayaan Selangor muncul juara keseluruhan Sukma 2026. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |