‘Anugerah Maulidur Rasul bukan kepada saya sahaja, untuk PDRM’

6 hours ago 6

SERDANG – Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menyifatkan Anugerah Maulidur Rasul Kategori Tokoh Wira Negara yang diterima sebagai penyuntik untuk terus bergiat aktif dan menyumbang kepada masyarakat.

Beliau berkata, pada masa ini, banyak tawaran datang, namun ia perlu diteliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya sudah pencen hampir sebulan, jadi ada lah tawaran-tawaran (yang diberikan), tapi saya masih belum buat sebarang keputusan.

“Saya yakin saya perlu aktif semula, tidak kira dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat atau pun penulisan sebab saya minat menulis.

“Hari itu pun (sebelum ini) lancar buku, selepas ini ada buku yang lebih terperinci berkaitan operasi yang boleh saya kongsikan, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448/2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan menyifatkan anugerah yang diterima sebagai penghargaan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Memang saya tidak menjangkakan akan dipilih untuk menerima anugerah ini. Saya hanya dimaklumkan tiga hari lalu.

“Pengiktirafan ini bukan kepada saya sahaja, tapi pengiktirafan kepada PDRM dalam konteks pengorbanan itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia memilih saya untuk menerima anugerah ini,” katanya.

Penerima lain ialah guru agama Abdul Hamid Chin (Tokoh Agamawan), Ketua Unit Perkhidmatan OKU, Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Ruzita Mohd Amin (Tokoh Wanita Madani); dan bekas Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir (Tokoh Saintis/Inovatif Kreatif).

Turut menerima Anugerah Maulidur Rasul ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (Tokoh Belia Harapan), pesara buruh Laman Yasim (Tokoh Keluarga Mithali) dan Pempengaruh media sosial Muhammad Mikhael Sathyah (Tokoh Khas (Saudara Baru Cemerlang)). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |