Bapa, abang penyerang Balai Polis Ulu Tiram dijel 30 tahun

3 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Bapa dan abang kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram masing-masing dijatuhi hukuman penjara 30 tahun atas pertuduhan berkaitan keganasan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 64, dan Radin Romyullah, 36, selepas kedua-dua tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang didakwa ke atas mereka.

Radin Imran mempunyai empat pertuduhan manakala Radin Romyullah berdepan dengan dua pertuduhan yang mana hukuman penjara 30 tahun berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap pada 17 Mei 2024.

Selain Radin Imran dan Radin Romyullah, turut dijatuhi hukuman ialah ibu penyerang itu, Rosna Jantan, 61, yang dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan.

Sementara itu, bagi dua lagi tertuduh iaitu anak perempuan Radin Imran, Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 21, dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah selepas pendakwaan memaklumkan menarik balik pertuduhan terhadap mereka.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan Hakim Nurulhuda menyatakan kesalahan-kesalahan yang dilakukan tertuduh-tertuduh adalah kesalahan yang amat serius hingga mengakibatkan kejadian bunuh di Balai Polis Ulu Tiram.

“Walaupun pengakuan salah tertuduh-tertuduh boleh dilihat menjimatkan masa pihak-pihak tapi pada sama ia bukan suatu bentuk diskaun untuk kesalahan-kesalahan yang serius,” kata Hakim Nurulhuda.

Sepanjang prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam manakala tertuduh-tertuduh yang juga lima ahli keluarga suspek serangan balai polis itu diwakili peguam Faizal Rahman dan Fatimah Zulaikha Ahmad Bashri.

Mengikut pertuduhan Radin Imran didakwa atas empat pertuduhan iaitu menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.

Radin Romyullah didakwa atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Rosna Jantan didakwa atas satu pertuduhan iaitu gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Tertuduh Farhah Sobrina dan Mariah didakwa masing-masing atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan berkaitan ideologi keganasan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pertama iaitu Radin Imran sering mengkafirkan pihak yang tidak sehaluan dengan fahamannya serta menyampaikan berkenaan taghut, kebencian terhadap kerajaan dan pasukan keselamatan.

Semasa siasatan pegawai penyiasat ditempat kejadian, mendapati Radin Imran telah menulis ayat-ayat dan kenyataan berunsurkan kebencian terhadap kerajaan dan pasukan keselamatan di dinding rumah. Ia antaranya menyatakan bahawa polis dan tentera adalah taghut dan wajib diperangi.

Sementara tertuduh ketiga iaitu Rosna, fakta kes menyatakan golongan-golongan kafir taghut yang terdiri daripada kerajaan termasuk polis dan tentera adalah golongan pelampau batas selain menyokong ideologi Islamic State (IS).

Dalam serangan itu, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said , 24, terkorban manakala Koperal Mohd. Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang penyerang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |