PETALING JAYA – Penyanyi Azmi Saat tidak kisah untuk menggunakan kecacatan dirinya sebagai bahan gurauan dengan orang masyarakat sekeliling.
Azmi, 39, yang juga ahli kumpulan Caliph Busker berkata, dia seronok apabila orang ramai dapat menerima jenakanya meski ada yang menganggapnya sebagai hal sensitif.
“Saya rasa bersyukurlah bila ramai yang boleh terima lawak-lawak saya.
“Sedangkan saya rasa benda itu membahan diri sendiri saja.
“Bila orang boleh terima dan tidak rasa benda tersebut berlebih-lebihan, sensitif atau memperlekehkan golongan orang kurang upaya (OKU), maknanya masyarakat Malaysia sudah semakin terbuka,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Azmi yang merupakan OKU cacat penglihatan menambah, tanpa sedar, perkara tersebut membantu membuang stigma golongan OKU terlalu sensitif dengan jenaka mengenai kekurangan diri sendiri.
“Saya sebenarnya nak buat orang lebih berani untuk rapat dengan orang-orang OKU sebab sebenarnya kami okey saja bergurau sebegitu.
“Jangan terlalu kasihan atau rasa kami tidak gembira. Saya nak masyarakat rapat dengan orang-orang OKU ini,” jelasnya.
Jelasnya, berjenaka mengenai diri sendiri adalah caranya untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling.
“Sebenarnya itulah kekuatan saya, tiada niat nak nak memperlekehkan diri sendiri atau kawan-kawan kami
“Kami cuma nak kata itulah kekuatan kami, bila guna kekurangan diri, orang pasti akan fikir ‘eh boleh macam tu’.
“Tapi biasanya sekali saja. Kalau guna kali kedua, tak jadi macam itu lagi (kelakar),” katanya lagi.
Sebelum ini, Azmi beberapa kali berkongsi hantaran dalam media sosial yang mengundang perhatian ramai termasuk pengalamannya menginap di sebuah resort di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Menerusi hantaran tersebut, dia berseloroh mahu meminta bayaran balik kerana bilik yang ditempah menjanjikan pemandangan laut daripada balkoni, namun dia tidak dapat melihatnya. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
6





![[VIDEO] ‘Berjerebu teruk pagi tadi, petang Allah turunkan hujan’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/jerebu-hujan.jpeg)





























![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)













