PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berhenti untuk mengambil gambar atau merakam video liar jantan dewasa yang dipercayai Sulong sekiranya terserempak haiwan itu di sepanjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB).
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, tindakan sedemikian boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pengguna jalan raya juga perlu sentiasa mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugas Perhilitan sekiranya berada di kawasan pemantauan.
“Pemberian makanan atau meletakkan makanan untuk gajah adalah ditegah di sepanjang JRTB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perhilitan turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak berhenti atau keluar daripada kenderaan sekiranya terserempak hidupan liar termasuk gajah yang berada di bahu jalan dan tidak menunjukkan tingkah laku agresif.
“Orang ramai juga diminta tidak melakukan sebarang bentuk provokasi terhadap haiwan liar yang ditemui,” katanya.
Terdahulu, Perhilitan memaklumkan seekor gajah liar jantan dewasa yang dipercayai Sulong dikesan berkeliaran di JRTB sejak 17 Ogos lalu dan mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan.
Bagaimanapun, keadaan fizikal serta tingkah lakunya dilaporkan normal selain masih mampu makan dan bergerak dengan baik, manakala luka pada kakinya semakin kering serta menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Sebelum ini tular di media sosial beberapa rakaman seekor gajah dipercayai Sulong di beberapa lokasi sepanjang laluan menuju ke Gua Musang, Kelantan sekali gus mencetuskan perhatian ramai.
Beberapa pengguna jalan raya juga kelihatan berhenti dan memberi makan kepada Sulong kerana simpati dengan nasibnya yang perlu berjalan jauh menuju ke kawanan asalnya.
Sulong dikatakan berasal dari Chalil, Gua Musang sebelum ini dipindahkan Perhilitan dari Gua Musang ke Gerik, Perak bagi mengelakkan konflik dengan penduduk termasuk gangguan terhadap tanaman. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
3




![[VIDEO] ‘Berjerebu teruk pagi tadi, petang Allah turunkan hujan’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/jerebu-hujan.jpeg)






























![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)













