Masjid perlu jadi pusat penyatuan ummah, bentuk generasi muda – Johari

9 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Masjid perlu terus diperkasa sebagai pusat penyatuan ummah, penyebaran ilmu dan pembentukan generasi muda selaras dengan peranan yang dimainkan institusi itu pada zaman Rasulullah SAW.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, masjid bukan sekadar tempat beribadah, sebaliknya berperanan sebagai ruang masyarakat berkumpul, menuntut ilmu, membina persaudaraan dan memperkukuh kehidupan bersama.

Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat menerusi sirah Rasulullah SAW ketika penghijrahan baginda ke Madinah apabila pembinaan masjid menjadi antara langkah penting dalam menyatukan masyarakat serta memperkukuh persaudaraan antara golongan Muhajirin dan Ansar.

“Perbezaan latar belakang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembinaan masyarakat. Sebaliknya kita perlu mencari titik persamaan, saling menghormati dan bekerjasama demi kebaikan bersama.

“Perbezaan tidak seharusnya menjadi sebab untuk kita berpecah, sebaliknya menjadi kekuatan apabila kita mampu hidup bersama dengan saling menghormati,” katanya ketika berucap pada sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini.

Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, semangat penyatuan itu perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian menerusi keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan bantuan.

Katanya, masyarakat perlu mengambil berat keadaan jiran, membantu keluarga yang berdepan kesusahan serta mendekati golongan muda yang memerlukan bimbingan.

“Jika ada jiran yang memerlukan bantuan, kita bantu. Jika ada keluarga yang menghadapi kesusahan, kita ambil tahu. Jika ada anak muda yang memerlukan bimbingan, kita dekati dan bantu.

“Inilah cara kita menterjemahkan nilai yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan kita sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap Masjid Jamek Kampung Baru terus memainkan peranan sebagai pusat penyatuan masyarakat selain menjadi wadah penyebaran ilmu, pembentukan akhlak dan pembangunan generasi muda.

Beliau berkata, budaya mengimarahkan masjid juga tidak seharusnya terhenti selepas sesuatu program selesai, sebaliknya perlu diteruskan sebagai amalan dalam komuniti.

“Program pada pagi ini sendiri merupakan contoh yang baik yang telah dikendalikan jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru.

“Saya berharap semangat ini tidak berhenti apabila majlis selesai tetapi terus menjadi budaya dalam komuniti kita,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |