RCI TH: PAC mula prosiding siasat tadbir urus, kewangan dan pelaburan TH

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen, hari ini bersetuju sebulat suara untuk memulakan prosiding bagi menyiasat kelemahan tadbir urus, kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata keputusan itu dibuat susulan penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

“PAC menyifatkan pendedahan RCI berkenaan amat serius dan boleh menghakis kepercayaan umat Islam di negara ini, sekiranya tidak ditangani sewajarnya.

“Masih ada beberapa persoalan yang terus diperkatakan selepas Laporan RCI itu didedahkan dan kemudian dibahaskan di Dewan Rakyat dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos 2026,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan di bawah Parlimen yang bipartisan, PAC mempunyai bidang kuasa jelas bagi menggalas tanggungjawab untuk memulakan prosiding berhubung isu tersebut.

Beliau menegaskan, prosiding itu bukan bertujuan mengulangi siasatan RCI yang telah dibuat dengan menyeluruh, sebaliknya menumpukan kepada status dan kemajuan sebenar pelaksanaan syor-syor RCI selaras dengan fungsi teras PAC.

“Bagaimanapun, tajuk, terma rujukan dan senarai saksi berhubung prosiding ini masih belum ditetapkan dan jawatankuasa akan mengadakan mesyuarat khas bagi tujuan itu.

“Pada masa sama, PAC sudah mempunyai pengalaman dalam menyiasat isu-isu yang besar dan sensitif antaranya Prosiding 1MDB pada tahun 2016, Prosiding Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan Berjumlah RM19.4 Bilion (2019) dan Prosiding Perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua Littoral Combatant Ship bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (2022),” tambahnya.

Bagi memastikan siasatan prosiding berhubung TH dilakukan secara komprehensif, telus dan berakauntabiliti, kata beliau, PAC akan turut menggunakan dokumen-dokumen seperti Laporan RCI, Laporan Ketua Audit Negara, dan Laporan Audit Firma Audit PwC sebagai rujukan.

“PAC komited untuk menjalankan siasatan ini secara telus dan adil demi memastikan akauntabiliti berterusan pengurusan wang awam dan mengembalikan keyakinan penuh pendeposit terhadap TH,” jelasnya.

Terdahulu media melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mencadangkan PAC Parlimen supaya menubuhkan badan penyiasat khas di bawah tanggungjawabnya bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu pengurusan TH bagi tempoh 2018 hingga 2025. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |