2 wanita pengsan tercampak pelampung taman tema

5 hours ago 4

MELAKA – Dua wanita pengsan selepas dipercayai tercampak daripada pelampung ketika bermain gelongsor air di sebuah taman tema di Ayer Keroh, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu membabitkan dua mangsa berusia 46 dan 31 tahun.

Menurutnya, kedua-dua mangsa menaiki pelampung berkembar ketika bermain permainan air.

“Mangsa berusia 46 tahun berada di bahagian hadapan pelampung, manakala seorang lagi mangsa berada di belakang.

“Ketika menuruni gelongsor, pelampung itu dikatakan seperti melanggar sesuatu sehingga menyebabkan mangsa berusia 46 tahun terhantuk kepala pada dinding gelongsor,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Halim berkata, anak kepada mangsa berusia 46 tahun yang berada di lokasi melihat ibu dan ibu saudaranya keluar dari gelongsor tanpa pelampung.

Katanya, kedua-dua mangsa juga tidak memasuki ruang air seperti sepatutnya sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Kedua-dua wanita berkenaan kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut. Mangsa mangsa berusia 46 tahun mengalami kecederaan di bawah dagu, sakit pada bahagian kepala dan dada serta luka di lutut kanan.

“Pemeriksaan sinar-X tidak menemukan sebarang kecederaan, namun imbasan tomografi berkomputer mendapati terdapat sedikit darah beku pada bahagian kanan kepala mangsa, manakala mangsa berusia 31 tahun pula tidak dapat mengingati kejadian, hanya tersedar ketika berada di bahagian terbuka gelongsor.

“Pemeriksaan di sebuah hospital swasta mendapati mangsa mengalami gegaran otak, namun tiada kecederaan lain dilaporkan,” jelasnya.

Halim berkata, laporan polis dibuat oleh anak mangsa berusia 22 tahun pada pukul 11.05 pagi keesokan harinya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pihak taman tema selain mahu membuat tuntutan insurans. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |