Kemalangan roller coaster: Pemilik taman tema berdepan tindakan

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Pemilik atau majikan taman tema boleh berdepan tindakan penguatkuasaan sekiranya siasatan mendapati berlaku kecuaian atau pelanggaran terhadap aspek keselamatan susulan insiden membabitkan permainan roller coaster di sebuah taman tema di Subang Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Hazlina Yon berkata, pihaknya memandang serius insiden yang berlaku pada 22 Ogos lalu itu dan sedang menjalankan siasatan terperinci termasuk penyiasatan forensik.

Katanya, punca sebenar kejadian hanya dapat ditentukan selepas siasatan lengkap dijalankan dan semua bukti serta laporan teknikal diperoleh dan dinilai.

“Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], tanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja dan orang-orang lain termasuklah orang awam yang mungkin terjejas dengan pengusahaan majikan adalah terletak pada majikan tersebut.

“Bagi industri taman tema, majikan yang menjalankan pengusahaan tersebut mempunyai kawalan terhadap operasi loji-loji di taman tema hendaklah memastikan loji tersebut selamat untuk beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pindaan Akta 514 pada tahun 2022 turut mewajibkan majikan melaksanakan pentaksiran risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan terhadap aktiviti yang dijalankan selain mengambil langkah kawalan sewajarnya seperti yang dinyatakan dalam laporan pentaksiran risiko keselamatan.

Tambahnya, majikan atau pemilik juga bertanggungjawab memastikan loji-loji di taman tema diperiksa, diuji dan disenggara mengikut kehendak pengilang atau pembuat oleh individu yang kompeten dan mempunyai kepakaran.

“JKKP secara berterusan melaksanakan fungsi penguatkuasaan melalui pemeriksaan dan pemantauan, sama ada secara terancang atau mengejut.

“JKKP akan meneliti keperluan pemeriksaan bersasar ke atas loji berisiko tinggi yang dipasang di taman tema di seluruh negara,” katanya.

Hazlina berkata, pemeriksaan tersebut termasuk menilai tahap pematuhan pemilik atau majikan terhadap prosedur operasi selamat, penyelenggaraan dan ujian kompetensi personel yang mengendalikan loji berkenaan.

Tegas beliau, keselamatan dan kesihatan pekerja serta orang awam hendaklah sentiasa menjadi keutamaan setiap majikan atau pemilik taman tema.

“Sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku pelanggaran terhadap kehendak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] atau mana-mana peraturan dibawahnya, JKKP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Cally Ting dilaporkan berkata, pihaknya menggesa JKKP menjawab beberapa persoalan penting berhubung penilaian keselamatan susulan kemalangan roller coaster yang berlaku di sebuah taman tema, di Subang Jaya, baru-baru ini.

Katanya, antara persoalan yang lebih mendesak kini ialah sama ada roller coaster yang terlibat telah dilarang secara rasmi daripada beroperasi sementara menunggu penilaian keselamatan penuh.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dalam kenyataan mengesahkan 10 orang pengunjung cedera selepas roller coaster di taman tema terbabit mengalami kerosakan teknikal.

Ketika kejadian kira-kira pukul 9 malam, Sabtu lalu, seramai 22 pengguna berusia antara 11 hingga 44 tahun sedang menaiki permainan berkenaan sebelum ia gagal berfungsi di pertengahan perjalanan.

Bagaimanapun, Wan Azlan berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |