KOTA BHARU – Hajat seorang pelajar tingkatan tiga untuk makan mi celup selepas teringat kenangan bersama arwah bapa tidak kesampaian apabila motosikal yang ditunggangi dirempuh motosikal bapa saudaranya di kawasan simpang di Kampung Kayu Rendang, Melor di sini pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Noor Amilia Salwa Mohd. Suhairi, 15, yang sedang dalam perjalanan ke sebuah kedai mi celup bersama lima rakannya, meninggal dunia pagi semalam semasa dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini.
Bapa saudara mangsa, Muhamad Faris Ismail, 33, yang terlibat dalam nahas itu hanya mengalami cedera ringan.
Muhamad Faris berkata, anak saudaranya itu menghembuskan nafas kira-kira pukul 10.30 pagi semalam di HPUSM selepas tiga hari koma akibat kecederaan dalaman selepas berlaku hentakan kuat pada bahagian dadanya.
Mengimbas kembali detik kemalangan, menurutnya, dia ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Melor di sini selepas bekerja sebagai tukang rumah di Pasir Pekan, Tumpat.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Advantage tiba-tiba membelok ke kanan untuk memasuki simpang untuk ke sebuah kedai mi celup.
“Keadaan itu menyebabkan saya tidak sempat membrek sebelum merempuh motosikal berkenaan. Saya dan penunggang motosikal itu jatuh ke atas jalan.
“Tidak lama kemudian, ambulans datang dan ketika itu saya baru saya sedar bahawa penunggang motosikal yang terlibat nahas itu merupakan Noor Amilia,” ketika ditemui Kosmo! di Kampung Kayu Besar, Peringat di sini hari ini.
Muhamad Faris memberitahu, dia sangat terkejut dan tergamam apabila mendapati penunggang yang dirempuhnya itu merupakan anak saudara yang dijaga oleh ayahnya sejak kecil.
“Saya amat sedih selepas mengetahui berita kematian anak saudara. Nahas itu berlaku selepas saya gagal mengawal dan membrek motosikal kerana jarak terlalu dekat,” katanya.
Sementara itu, datuk mangsa, Ismail Hassan, 69, berkata, cucunya ada memaklumkan dia mahu pergi makan mi celup bersama rakan-rakannya selepas pulang dari sekolah.
Menurutnya, Noor Amilia juga secara tiba-tiba mengatakan bahawa dia teringat kenangan bersama arwah ayahnya yang meninggal dunia sembilan tahun lalu akibat terjatuh di tempat kerja sering membawa pulang mi celup ke rumah untuknya.
“Disebabkan itu, dia teringin untuk makan mi celup. Selepas solat asar, arwah Noor Amilia keluar untuk makan mi celup bersama lima rakannya dengan berkonvoi tiga buah motosikal.
“Cucu saya menunggang motosikal dengan membonceng rakannya untuk ke kedai mi celup yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah saya,” katanya.
Menurutnya, dia tidak menyangka perbualan dengan Noor Amilia yang tiba-tiba teringat arwah ayahnya itu merupakan petanda cucunya akan pergi untuk selama-lamanya.
Katanya, jenazah cucunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Haji Hussin, Kayu Besar di sini kira-kira pukul 10 malam tadi. – KOSMO! ONLINE