QUETTA, PAKISTAN – Sumber keselamatan Pakistan menyatakan hari ini bahawa pihaknya telah membebaskan 155 tebusan daripada kira-kira 450 penumpang kereta api yang dirampas kumpulan militan di wilayah Balochistan.
Seramai 27 militan turut dibunuh ketika rampasan memasuki hari kedua.
“Pasukan keselamatan telah membebaskan 155 penumpang dengan selamat. Seramai 27 pengganas telah dihapuskan,” kata sumber keselamatan sambil menambah, operasi itu masih berterusan.
Saluran berita CNN sebelum itu memetik seorang pegawai yang berkata, perjalanan kereta api Jaffer Express tersebut telah dihentikan oleh anggota militan ketika ia sampai di sebuah terowong semalam.
Kereta api itu dalam perjalanan dari Quetta, Balochistan ke bandar Peshawar.
“Individu bersenjata menghentikan Jaffer Express di dalam Terowong No. 8 (di Bolan),” kata pengawal Quetta Railway, Muhammad Kashif kepada CNN.
“Kereta api itu, yang berlepas dari Quetta pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) mempunyai sembilan koc dan membawa kira-kira 450 penumpang,” tambahnya.
CNN turut menyebut 10 orang terbunuh yang terdiri daripada anggota keselamatan dan seorang pemandu kereta api.
Tentera Pembebasan Baloch (BLA) yang mengaku melakukan rampasan itu, mengeluarkan ancaman untuk membunuh 10 tebusan sebagai tindak balas terhadap serangan dron dan tembakan artileri yang dilakukan oleh tentera Pakistan, lapor The Balochistan Post.
Pasukan keselamatan Pakistan melancarkan operasi berskala penuh hari ini untuk membebaskan penumpang kereta api yang dijadikan tebusan oleh kumpulan militan, kata pegawai.
“Operasi berskala penuh dirancang pada sebelah pagi untuk menyelamatkan tebusan kereta api dan lain-lain,” kata seorang pegawai keselamatan di kawasan itu kepada AFP. – AFP