PRN Johor: Nilai rekod empat tahun Kerajaan Persekutuan sebelum mengundi – Anwar

7 hours ago 3

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Johor supaya menilai pencapaian Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh empat tahun lalu yang menurutnya sentiasa mengutamakan kebajikan dan keperluan rakyat sebelum membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pengundi perlu melihat rekod pentadbiran kerajaan yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat berdepan kos sara hidup serta memperkukuh kebajikan masyarakat.

“Ini bukan cakap kosong. Kita tengok rekod kita. Minyak turun atau naik? Diesel turun atau naik? Anak-anak sekolah semua dapat bantuan. Ini dasar baharu kita. Dulu ada masalah, kita cuba selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Muzik Johor Bahru (JB) di Perling Mall, di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan golongan muda supaya tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari pengundian.

“Malam ini, tak apa, saya nak anak-anak enjoy, relax, tetapi balik awal, esok pergi mengundi, boleh?” katanya yang disambut sorakan pengunjung.

Beliau turut mengajak anak muda terus mempertahankan perpaduan serta keharmonian negara dengan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan rakyat.

“Kita mesti terus jaga persahabatan dan persaudaraan kita. Negara ini aman sebab kita bekerjasama dan semua kaum dapat bersatu. Jangan bagi golongan pelampau pecah-belahkan kita.

“Jadi, gunakan kuasa dengan baik. Yang boleh mengundi esok, pergi undi dengan cepat. Tahu mana nak pilih?” katanya secara berseloroh.

Selepas menghadiri festival berkenaan, Anwar dijadual menghadiri program penutup kempen PH iaitu Program Grand Finale, Johor Ke Depan, Undi Harapan PRN Johor di Pasir Gudang.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |