ISKANDAR PUTERI – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) membuatkan Melaka FC gigit jari apabila terpaksa menelan derita dibelasah 5-0 pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Kemenangan itu sekaligus meletakkan pasukan Harimau Selatan itu selesa selangkah ke separuh akhir bagi menpertahankan kejuaraan Piala Malaysia.
Pada perlawanan itu, aksi ‘debut’ Adjin Mujagic menjadi tumpuan setelah pemain import kelahiran Bosnia itu meledak hatrik bagi membantu pasukan untuk meraih kemenangan selesa.
Anak buah Xisco Munoz itu mempamer aksi bertenaga seawal minit pertama bagi memberi tekanan kepada pasukan pelawat untuk memburu jaringan pembukaan.
Mujagic hanya memerlukan empat minit sahaja untuk membuka buku jaringan bersama skuad Harimau Selatan apabila menyudahkan umpanan Park Junheong dari jarak dekat menewaskan penjaga gol, Haziq Aiman Mohd. Esa.
Dua minit berselang, pemain berusia 28 tahun itu menambah jaringan berpunca daripada sepakan sudut Hector Hevel yang ditanduk Feroz Baharudin kepada Mujagic sebelum melepaskan rembatan deras menggegar gawang lawan.
Skuad kendalian E. Elavarasan cuba bangkit pada perlawanan itu dan berupaya melakukan tepat ke arah pintu gol JDT namun percubaan Simen Alexander Lyngbo dinafikan Christian Abad Amat pada minit ke-11.
Bersambung babak kedua, Melaka hampir mencipta jaringan hasil tandukan bebas penyerang import, Ahmed Ayman Shamsaldin Abdalazem namun dinafikan penjaga gawang JDT.
Mujagic melengkapkan malam gemilangnya apabila melengkapkan hatrik pada minit ke-61 setelah memanfaatkan umpanan Oscar Arribas untuk meletakkan JDT selesa di hadapan.
Manuel Hidalgo yang dibawa masuk pada awal babak kedua menambah jaringan buat JDT namun gol yang dihasilkan dibatalkan pengadil Hasrol Mohd. Amir setelah mendapati pemain itu berada di kedudukan ofsaid.
Mujagic yang menyertai JDT dari Sabah FC turut membuat bantuan gol kepada Hidalgo yang bersahaja melakukan sepakan lambung menewaskan Haziq Aiman yang terkapai-kapai tidak berdaya menafikan gol tersebut pada minit ke-72.
Tiga minit berselang, Marcos Guilherme yang dibawa masuk sebagai pemain gantian menambah derita buat Melaka setelah larian lincahnya berjaya menewaskan Haziq Aiman yang keluar dari posisi sebelum melepaskan rembatan lencong ke gawang yang kosong itu.
Pada minit ke-79, Teto Martin meledak gol buat JDT ketika pasukan tuan rumah melakukan serangan balas namun ia dibatalkan pengadil perlawanan setelah semakan dibuat mendapati pemain tersebut berada di kedudukan ofsaid.
JDT akan berdepan Melaka bagi aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia 25 Februari ini.-KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2


















![[VIDEO] ‘Dah baling, pandai pecut kereta’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-13-at-3.01.17-PM.jpeg)






























