Pengawas peperiksaan bukan guru dilaksana sejak 2023

8 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Pelantikan pengawas peperiksaan dalam kalangan bukan guru telah dilaksanakan bermula dengan Malaysian University English Test (MUET) kendalian Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kendalian Lembaga Peperiksaan bagi tahun 2023.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bekata, pelantikan ini dibuat kepada individu dalam kalangan bukan guru yang memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 309 individu dalam kalangan bukan guru telah dilantik sebagai pengawas peperiksaan MUET Tahun 2023 manakala 1,320 orang dilantik untuk MUET Tahun 2024.

“Bagi peperiksaan SPM pula, seramai 5,827 individu dalam kalangan bukan guru telah dilantik sebagai pengawas peperiksaan SPM Tahun 2023 manakala 5,780 orang dilantik untuk SPM Tahun 2024.

“KPM ingin menjelaskan bahawa pelantikan individu dalam kalangan bukan guru hanya melibatkan tugas sebagai pengawas peperiksaan.

“Manakala lantikan sebagai Ketua Pengawas Peperiksaan, Ketua Pengawas Ujian Amali, Timbalan Ketua Pengawas Peperiksaan, Penyelia Kawasan dan Timbalan Penyelia Kawasan adalah kekal dalam kalangan guru atau pegawai perkhidmatan pendidikan yang sedang berkhidmat,” jelasnya di Dewan Negara.

Katanya, Ini adalah bagi memastikan prosedur operasi standard dipatuhi demi menjamin integriti dan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Abdul Nasir Idris yang ingin tahu mengenai status terkini cadangan agar pihak bukan guru yang terlibat sebagai pengawas peperiksaan awam sebagai usaha mengurangkan beban dan tugas guru.

Tambah Fadhlina, inisiatif pelantikan pengawas peperiksaan dalam kalangan bukan guru mencerminkan kesungguhan KPM untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru adalah terjamin.

“Inisiatif ini juga dilihat sebagai satu bentuk transformasi pendidikan dengan pelibatan orang awam untuk turut sama membantu mengurangkan beban tugas guru di sekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |