Pegawai bank sahkan lagi RM5 juta masuk Bersatu

5 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Dua pegawai bank mengesahkan bahawa akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menerima kemasukan wang berjumlah RM5 juta di antara 24 September 2021 dan 3 November 2022.

Saksi pendakwaan ketujuh, Penolong Pengurus Cawangan CIMB Bukit Tunku, Herdayanti Md Hassan, 44, dalam keterangannya menyatakan terdapat empat transaksi wang masuk ke dalam akaun parti itu melalui cek daripada akaun peribadi seorang individu bernama Datuk Azman Yusoff.

“Dokumen ini merupakan penyata bank CIMB Bank milik Azman Yusoff yang telah didaftarkan di KCJ Engineering Sdn Bhd. Berdasarkan penyata bank ini, saya sahkan terdapat pengeluaran wang (berkenaan) dari akaun milik Azman Yusoff,” katanya.
Herdayanti berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan hari keempat kes guna kedudukan untuk suapan dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Projek Jana Wibawa.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi manakala Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Yasin diwakili peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad.

Sewaktu disoal balas oleh Amer Hamzah, pegawai bank berkenaan tidak dapat memastikan tujuan setiap cek tersebut dikeluarkan kepada Bersatu.

Herdayanti bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam bela itu bahawa bank pengeluar cek akan merekodkan semua pembayaran yang dibuat kepada akaun penerima cek menjadikan setiap transaksi tersebut telus.

Sementara itu, Penolong Pengurus Cawangan Maybank Kota Kemuning, Alfian Othman, 57, berkata pada 21 Februari 2022, syarikat pembinaan, Nepturis Sdn. Bhd. telah mengeluarkan cek bernilai RM1 juta kepada parti Bersatu.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian ketika dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal kepada dokumen imej cek yang dilunaskan pada tarikh sama.

Menjawab soalan Amer Hamzah, pegawai bank Maybank itu bersetuju bahawa pembayaran oleh Nepturis itu tidak membabitkan akaun milik Muhyiddin sebaliknya melibatkan akaun Bersatu.

Alfian turut bersetuju bahawa transaksi membabitkan cek tersebut adalah telus dan tidak diselindungi kerana telah direkodkan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin bersambung lagi 28 April ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |